Polis Mexico temukan 45 beg mengandungi anggota badan manusia - Utusan Malaysia

Polis Mexico temukan 45 beg mengandungi anggota badan manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 45 beg mengandungi anggota badan manusia ditemukan dalam gaung di Jalisco, barat Mexico ketika pencarian lapan orang yang dilaporkan hilang minggu lalu, kata pihak berkuasa tempatan pada Khamis.

“Empat puluh lima beg dengan mayat lelaki dan wanita,” kata pejabat pendakwa raya dalam satu kenyataan.

Penemuan ngeri itu dibuat pada Selasa di dasar gaung 40 meter di perbandaran Zapopan, pinggir bandar Guadalajara, hab perindustrian yang besar.

Pihak berkuasa melancarkan pencarian dua wanita dan enam lelaki, kesemua berumur sekitar 30 tahun, yang dilaporkan hilang sejak 20 Mei lalu.

Laporan orang hilang untuk setiap orang telah dibuat secara berasingan pada hari berbeza, tetapi penyiasat mendapati mereka semua bekerja di pusat panggilan yang sama.

Pusat panggilan itu berada di kawasan yang sama di mana mayat ditemui.

Pakar forensik masih belum menentukan jumlah mangsa atau identiti mereka.

Siasatan awal mencadangkan pusat panggilan itu mungkin terlibat dalam aktiviti haram, dan media tempatan melaporkan pihak berkuasa menemui ganja, kain pembersih dengan kesan darah serta dokumen kemungkinan wujud aktiviti komersial.

Bagaimanapun ahli keluarga mendakwa pihak berkuasa cuba menggambarkan mangsa sebagai penjenayah.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mayat manusia ditemui dalam beg atau kubur tidak bertanda di kawasan Jalisco yang berbeza.

Pada 2021, di perbandaran Tonala, di Jalisco, kira-kira 70 beg dengan mayat 11 orang ditemui. Pada 2019, mayat 29 orang ditemui dalam 119 beg di kawasan tidak berpenghuni di Zapopan.

Satu lagi kes yang mencetuskan banyak bantahan di Jalisco ialah kehilangan tiga pelajar pada Mac 2018, yang mayatnya dilarutkan dalam asid.

Juga pada 2018, media melaporkan tiga warga Itali hilang, didakwa diserahkan polis kepada kartel Jalisco New Generation.

Menurut media tempatan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, 33 mayat ditemui di lima kubur sementara di kawasan Guadalajara.

Kartel Jalisco New Generation beroperasi di negara ini dan merupakan antara kumpulan jenayah terancang paling berkuasa di Mexico, dan terlibat dalam pertikaian dengan sindiket dadah lain.

Mexico merekodkan lebih 340,000 pembunuhan dan kira-kira 100,000 kehilangan, majoriti dikaitkan dengan organisasi jenayah, sejak pelancaran serangan antidadah tentera yang kontroversial pada Disember 2006. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya