Penemuan 4 kanak-kanak hilang 40 hari di Amazon satu keajaiban

Penemuan 4 kanak-kanak Orang Asli hilang 40 hari di Amazon satu keajaiban

PASUKAN penyelamat membantu empat kanak-kanak yang dilaporkan hilang dalam hutan selama lebih sebulan di hutan Amazon. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOGOTA: Selepas dilaporkan hilang selama lebih sebulan di dalam hutan tebal Amazon, empat kanak-kanak Orang Asli ditemukan masih hidup di selatan Colombia.

Presiden Colombia, Gustavo Petro mengumumkan perkara tersebut kelmarin dan menyifatkannya sebagai ‘kegembiraan untuk seluruh negara’.

“Kesemua kanak-kanak tersebut ditemukan dalam keadaan lemah dan mereka diberi rawatan segera.

“Hari ini merupakan paling magis dalam sejarah Colombia dan siapa sangka mereka masih hidup dan bertahan sehingga saat ini kerana mereka mempunyai kemahiran hidup yang amat tinggi,” ujar Petro.

Terdahulu, Petro memuat naik satu gambar dalam Twitter menunjukkan beberapa orang dewasa dengan ada di antaranya berpakaian tentera membantu keempat-empat kanak-kanak tersebut.

Seorang daripada kanak-kanak itu, dipercayai paling kecil didukung anggota penyelamat sambil minum air dalam botol.

Berasal dari etnik Huitoto, kesemua kanak-kanak itu yang berusia 13, sembilan, empat dan setahun sesat dalam hutan sejak 1 Mei lalu apabila pesawat Cessna 206 yang mereka naiki terhempas.

Dalam insiden itu, juruterbang melaporkan mengenai masalah enjin beberapa minit sejurus berlepas dari kawasan hutan Araracuara menuju ke pekan San Jose del Guaviare sebelum terhempas.

Selepas insiden itu, mayat juruterbang, ibu kepada empat kanak-kanak tersebut dan saudara mereka ditemukan di lokasi nahas.

Pihak berkuasa Colombia kemudiannya percaya keempat-empat kanak-kanak itu masih hidup lalu mengerahkan 160 tentera dan 70 Orang Asli melakukan operasi mencari serta menyelamat (SAR) mereka.

JATUHKAN RISALAH KESELAMATAN

Dalam operasi SAR yang dilakukan, pihak berkuasa menemukan beberapa klu termasuk tapak kaki, lampin pakai buang dan buah-buahan yang dimakan.

Bimbang dengan keadaan mereka, pihak berkuasa ‘menjatuhkan’ 1,000 keping risalah keselamatan di kawasan hutan yang mengandungi arahan dan garis panduan supaya kanak-kanak tersebut boleh bertahan.

Pasukan tentera turut menjatuhkan bekalan makanan dan air dengan harapan dapat ditemukan oleh kanak-kanak berkenaan.

Kesemua kanak-kanak itu ditemukan oleh penduduk di Araracua yang turut menyertai operasi SAR. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN