Bursa Malaysia susut di bawah paras 1,700 mata 

Bursa Malaysia susut di bawah paras 1,700 mata 

BURSA Malaysia ditutup rendah 14.09 mata kepada 1,684.93 pada 5 petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran saham tempatan gagal mengekalkan momentum pembukaan positif apabila terus lemah semasa sesi dagangan semalam, sejajar dengan prestasi hambar pasaran serantau berikutan aktiviti pengambilan untung awal oleh pelabur. 

Pada 5 petang semalam, Bursa Malaysia ditutup rendah 14.09 mata kepada 1,684.93, berbanding 1,699.02 penutupan Selasa lalu.

Pasaran ditutup pada Rabu sempena cuti umum Hari Raya Aidiladha.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka pada 1,706.83 mata pada Khamis sebelum mencatatkan penurunan di bawah paras sokongan psikologi 1,700 mata dalam sesi dagangan ekoran tekanan jualan yang meluas.

Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kejatuhan indeks di bawah paras psikologi 1,700 mata ini mencerminkan sikap pelabur institusi yang memilih untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat (sideways) selepas cuti pertengahan minggu.

Katanya, faktor ketidaktentuan luaran terutamanya pasaran komoditi global dan rantaian logistik tenaga yang agak tertekan di peringkat global membuatkan dana asing mengehadkan pendedahan mereka dalam pasaran membangun buat sementara waktu.

“Namun begitu, asas ekonomi domestik negara yang disokong oleh prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama yang kukuh baru-baru ini sepatutnya bertindak sebagai penampan jangka panjang daripada kejatuhan yang lebih parah,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, FBM KLCI turut terkesan oleh prestasi lemah Indeks Hang Seng di Hong Kong yang meneruskan penurunan ke paras terendah dalam tempoh dua bulan.

Katanya, situasi tersebut dipengaruhi perkembangan geopolitik di Asia Barat, apabila tekanan jualan ketara dikesan dalam sektor hartanah, tenaga dan teknologi dan mempengaruhi keputusan pelabur. 

“Pasaran tempatan mungkin terus menyaksikan aliran keluar dana asing buat masa ini. Bagaimanapun, memandangkan indeks kini diniagakan di bawah paras 1,700 mata, kami menjangkakan pelabur akan mula mengambil peluang untuk melakukan aktiviti memburu saham murah,” katanya.

Tambahnya, sektor teknologi Bursa Malaysia meneruskan trajektori meningkat disokong oleh keyakinan berterusan terhadap permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), prospek pemulihan semikonduktor dan sentimen teknologi global yang berdaya tahan. 

Kaunter teknologi terpilih terus menarik minat belian ketika pelabur beralih ke sektor berorientasikan pertumbuhan dengan kejelasan pendapatan yang lebih kukuh 

“Sentimen pasaran secara keseluruhan kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat memandangkan pelabur memantau rapat perkembangan konflik AS-Iran, pergerakan harga minyak mentah global dan potensi implikasi inflasi yang timbul daripada gangguan bekalan yang berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN