PETALING JAYA: Kejutan ke atas beregu handalan dunia bukan perkara baharu buat Kang Khai Xing-Aaron Tai sebaliknya mencari ramuan terbaik untuk kekal konsisten menjadi fokus utama beregu muda itu pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura.
Semalam, pasangan ke-27 dunia itu membuktikan mereka mampu menjadi pencabar apabila membenam beregu No. 7 dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia 21-19, 21-17 dalam masa 38 minit di pusingan kedua.
Kejutan besar seumpama itu pernah dilakukan Khai Xing-Aaron sewaktu pusingan pertama All England, Mac lalu, apabila beregu No. 4 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menjadi mangsa mereka.
Pada suku akhir hari ini, beregu handalan India yang merupakan bekas pasangan No. 1 dunia itu menanti Khai Xing-Aaron dan sejauh mana mereka mampu mengulangi pencapaian sewaktu di England, jawapannya adalah konsisten.
Aaron berkata, kunci kepada setiap kemenangan yang diukir mereka adalah permainan konsisten dan komunikasi yang baik dengan Khai Xing.
“Saya rasa kunci untuk kemenangan adalah konsisten dan komunikasi kami di dalam gelanggang. Jadi, kita boleh (menang) kalau kita lebih konsisten, kita akan jadi lebih bagus,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Justeru, pertembungan dengan Rankireddy-Shetty bakal menjadi ujian besar buat Khai Xing-Aaron, bagaimana untuk mengekalkan konsisten semalam, kepada satu lagi kejutan pada kejohanan Super 750 itu.
Untuk rekod, kemaraan bekas juara remaja dunia itu pada suku akhir Super 750 adalah pencapaian terbaik Khai Xing-Aaron setakat ini dan kali pertama mereka berbuat demikian.
Aaron yang berusia 19 tahun berkata, menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang di Stadium Tertutup Singapura juga amat penting untuk mereka mencari kelebihan bagi memburu kemenangan.
Khai Xing turut senada dengan rakan seperjuangannya apabila menjelaskan, masalah utama mereka berdua adalah bagaimana untuk mengekalkan permainan konsisten. – UTUSAN










