PETALING JAYA: Kehilangan momentum dalam tempoh kecederaan sebelum ini menjadi punca Pearly Tan-M. Thinaah terpaksa pulang awal selepas terkandas pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Singapura di Kallang, semalam.
Beregu wanita No. 2 dunia itu dikejutkan pasangan ke-105 dunia, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard dari Thailand 16-21, 19-21 dalam masa 37 minit.
Terbuka Singapura merupakan kejohanan pertama disertai Pearly-Thinaah, selepas berehat hampir dua bulan bagi memberi laluan kepada pemulihan kecederaan belakang Pearly.
Pearly berkata, dia sudah bebas daripada kecederaan tetapi untuk mendapatkan kembali momentum, masa diperlukan bagi menyesuaikan diri dengan perlawanan.
“Ya, sudah tentu, saya sudah bebas daripada kecederaan. Kami cuma mahu mendapatkan semula momentum kami secara perlahan-lahan di atas gelanggang,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.
Menurut Pearly, apa yang lebih penting pada ketika ini, dia berjaya menamatkan perlawanan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Mengulas lanjut, dia dan Thinaah akur gagal bermain dengan baik, terutamanya ketika melakukan penggiliran di dalam gelanggang yang jelas tidak sehaluan.
“Jadi, sudah tentu pihak lawan bermain dengan baik untuk memberi tekanan kepada kami berdua, dan ya, saya rasa itu yang menyebabkan keputusan perlawanan hari ini,” katanya.
Thinaah pula berkata, kesilapan mudah yang dilakukan mereka berdua turut memberi manfaat kepada lawan, lebih-lebih lagi ketika berada pada mata penting.
“Saya rasa sudah agak lama juga kami tidak bermain bersama di gelanggang. Jadi, saya rasa sisi positifnya ialah kami bebas daripada kecederaan dan kami hanya mahu mendapatkan semula momentum kami serta strategi permainan,” katanya yang akan beraksi pada Terbuka Indonesia, minggu depan. – UTUSAN










