TEHERAN: Ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) kembali memuncak apabila Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menyerang sebuah pangkalan udara AS di Kuwait semalam selepas Washington melakukan serangan udara AS berhampiran Lapangan Terbang Bandar Abbas, selatan negara itu.
Menurut agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, IRGC berkata, serangan balas itu berlaku pada pukul 4.50 pagi waktu tempatan Khamis, beberapa jam selepas apa yang disifatkannya sebagai serangan AS menggunakan peluru udara ke atas satu lokasi berhampiran lapangan terbang bandar pelabuhan tersebut.
“Tindakan balas ini adalah amaran serius supaya musuh memahami bahawa pencerobohan tidak akan dibiarkan tanpa jawapan dan jika diulangi, tindak balas kami akan lebih tegas,” katanya.
SERANGAN
Serangan itu menepati janji yang dibuat Jurucakap Angkatan Tentera Iran, Abolfazl Shekarchi pada Selasa lalu yang berkata, sebarang pencerobohan baharu terhadap Iran akan dibalas dengan tindak balas jauh lebih teruk yang melangkaui rantau tersebut.
Kementerian Luar Iran turut menuduh AS melanggar gencatan senjata yang rapuh dalam tempoh 48 jam lalu di wilayah pantai selatan Hormozgan, tanpa memperincikan insiden tersebut pada hari yang sama..
Sementara itu, serangan terbaharu pada Khamis berlaku sebelum seorang pegawai Amerika berkata, pasukan AS telah menembak jatuh empat dron Iran pada Khamis sehingga menimbulkan ancaman berhampiran Selat Hormuz dan menyerang sebuah stesen kawalan darat Iran di Bandar Abbas yang sedang bersiap untuk melancarkan dron kelima.
Serangan terbaharu itu berlaku selepas Markas Pusat AS (CENTCOM) awal minggu ini mengesahkan satu lagi siri serangan ke atas selatan Iran dengan menyasarkan tapak pelancaran peluru berpandu dan bot Iran yang didakwa cuba meletakkan periuk api.
Iran mengecam serangan tersebut sebagai pelanggaran serius terhadap gencatan senjata yang berkuatkuasa pada 8 April selepas diumumkan Presiden AS, Donald Trump dan berakhir tanpa had masa.
Ketegangan serantau memuncak pada 28 Februari apabila AS dan Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran, yang mendorong Teheran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke sasaran di seluruh rantau itu serta menutup Selat Hormuz.
Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.
Trump kemudian melanjutkan gencatan senjata itu tanpa had masa selain mengekalkan sekatan ke atas kapal yang menuju ke atau dari pelabuhan Iran melalui laluan strategik tersebut dan secara berkala menyatakan bahawa perjanjian damai hampir dicapai.
PERTEMPURAN
Pertempuran itu menimbulkan persoalan terhadap rundingan yang bertujuan menamatkan secara rasmi perang yang dimulakan AS dan Israel ke atas Iran.
Salah satu fokus utama perjanjian yang dicadangkan ialah memulihkan sepenuhnya trafik di Selat Hormuz, yang secara efektif telah ditutup oleh Teheran, sekali gus menyebabkan pasaran tenaga global berdepan gangguan bekalan minyak dan gas dalam jumlah besar yang lazimnya melalui laluan itu.
Harga minyak kembali meningkat pada Khamis selepas laporan mengenai serangan tersebut, sekali gus memadamkan sebahagian besar penurunan harga pada Rabu yang didorong harapan terhadap kemungkinan perjanjian damai dalam masa terdekat.
LUBNAN
Serangan baharu turut dilaporkan di Lubnan, satu lagi medan konflik dalam perang tersebut.
Israel berkata, ia menyerang bandar selatan Tyre selepas memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap Hizbollah yang disokong Iran dan mengisytiharkan semua kawasan di selatan Sungai Zahrani, kira-kira 40 kilometer dari sempadan sebagai zon pertempuran.
Trump turut dilihat mengeluarkan amaran kepada Oman, sekutu AS dan pengantara dalam konflik itu, apabila ditanya mengenai kemungkinan perjanjian jangka pendek yang membolehkan Iran dan Oman mengawal Selat Hormuz.
“Tidak, selat itu akan dibuka kepada semua pihak,” kata Trump selepas mesyuarat Kabinet di Rumah Putih, Washington, Rabu lalu.
“Ia adalah perairan antarabangsa dan Oman akan bertindak seperti semua pihak lain atau kami perlu memusnahkan mereka. Mereka faham perkara itu, semuanya akan baik-baik sahaja,” tambahnya.
Setakat ini, hanya kapal yang bersedia mematuhi arahan Iran dibenarkan melalui Selat Hormuz.
TIDAK PUAS HATI
Trump mengugut untuk menyambung semula kempen pengeboman berskala besar jika Iran tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan.
Walaupun sebelum ini Trump bercakap dengan nada positif pada hujung minggu dan berkata perjanjian damai dengan Iran hampir siap dirundingkan, beliau kemudian berkata dalam mesyuarat Kabinet itu bahawa AS ‘tidak berpuas hati’.
Beliau berkata, Teheran ‘sangat berhasrat’ untuk mencapai perjanjian bagi menamatkan konflik, namun menambah setakat ini mereka belum sampai ke tahap itu, sambil mengulangi kesediaan Washington menyambung semula serangan jika tiada perjanjian dicapai.
Kenyataan itu dibuat selepas televisyen negara Iran melaporkan dakwaan butiran draf perjanjian, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz dan pengunduran tentera AS dari rantau berkenaan.
Rumah Putih bagaimanapun menyifatkan teks tersebut sebagai ‘palsu’.










