NGANJUK: Seorang guru tadika yang hanya menerima upah 325,000 rupiah (RM100) sebulan terharu dapat menunaikan ibadah haji tahun ini selepas lebih 11 tahun menabung.
Rima Yantari, 38, bekerja sebagai guru di Tadika Pertiwi Tanjung di wilayah Nganjuk di Jawa Timur sementara suaminya bekerja sebagai petani.
Rima berkata, dia berkecimpung dalam dunia pendidikan sebagai guru pada tahun 2012 dan awalnya mengajar di taman asuhan berhampiran rumahnya di Desa Nglawak di daerah Kertosono.
Rima mengakui pernah menerima bayaran hanya 50,000 rupiah (RM15) sebulan namun upah ibu kepada tiga anak itu mula dinaikkan secara beransur-ansur.
“Saya tidak terima gaji tetap setiap bulan kerana berstatus sebagai guru sementara dan tiada sijil rasmi. Mula-mula bayaran diterima setiap tiga bulan sekali, tukar empat bulan sekali, sekarang enam bulan sekali,” jelasnya kepada Kompas.com.
Walaupun begitu, Rima berkata dia menabung dan gigih menyimpan wang yang diterima selepas mendaftar untuk menunaikan haji sejak tahun 2012.
“Saya memberanikan diri mendaftar haji selepas suami pulang dari tanah suci pada 2012. Gaji mengajar saya asingkan sedikit ditambah dengan wang hasil tuaian yang suami berikan setiap bulan, saya jimat sedikit untuk menabung bagi membayar biaya haji,” jelasnya.
Menurut Ketua Pejabat Pengurusan Haji dan Umrah Wilayah Nganjuk, Hanif Kamaloddin, Rima merupakan salah seorang daripada 649 jemaah haji dan pegawai dari wilayah itu yang bakal berangkat ke tanah suci pada 5 Jun ini.