PETALING JAYA: Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) komited dalam menyokong dan membangunkan pemain golf muda negara dengan memberi pendedahan serta peluang untuk bersaing di peringkat tertinggi rantau ini.
Komitmen itu dizahirkan sempena pengumuman senarai pemain negara yang akan mewakili Malaysia pada Kejohanan Piala Queen Sirikit ke-46 yang akan berlangsung di Sentul Highlands Golf Club, Indonesia dari 12 hingga 15 Mei ini.
Piala Queen Sirikit atau secara rasminya Kejohanan Golf Berpasukan Amatur Wanita Asia-Pasifik merupakan antara kejohanan amatur paling berprestij di rantau ini dan akan disertai 13 negara dari seluruh Asia-Pasifik.
Malaysia diwakili oleh tiga pemain iaitu Noor Diana Shafiqah Abdullah, Amberly Zaira Zamri dan Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani, manakala jurulatih pasukan ialah Fergal Paul McGeown.
Tunku Puteri Jawahir Tuanku Ja’afar bertitah, MALGA komited dalam menyokong serta membangunkan pemain golf muda Malaysia dengan memberi pendedahan dan peluang bersaing di peringkat tertinggi rantau ini.
“MALGA berbangga dengan dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh pemain serta jurulatih dalam persiapan menghadapi kejohanan ini.
“Kami berharap pasukan dapat memberikan persembahan terbaik dan terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” titah dalam kenyataan hari ini.
Pada tahun lalu, kejohanan tersebut berlangsung di Jepun dan terus mengekalkan tradisi memupuk persahabatan, semangat kesukanan serta pembangunan golf amatur wanita di rantau Asia-Pasifik.
MALGA turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Malaysia dan berharap pemain dapat terus menjadi inspirasi kepada generasi muda golf wanita negara melalui dedikasi serta minat mendalam terhadap sukan tersebut. – UTUSAN










