MANILA: Gempa bumi berukuran 6.2 skala Richter melanda Filipina, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Gempa bumi itu melanda pada kedalaman 112 kilometer kira-kira pukul 10.00 pagi (waktu tempatan) di perairan luar bandar Calatagan.
Ketua polis perbandaran Calatagan, Emil Mendoza berkata, beliau dan kakitangannya bergegas keluar berikutan gegaran itu, yang turut dirasai di kawasan tengah negara yang padat penduduknya, termasuk Manila.
“Ia agak kuat. Kami terpaksa berlari ke luar,” kata Emil.
Menurut Emil, walaupun tiada laporan segera mengenai kematian atau kerosakan, pihak berkuasa bencana dikerahkan untuk menilai kesan gempa bumi berkenaan.
Pegawai bencana Calatagan, Ronald Torres berkata, gempa itu berlarutan selama kira-kira satu minit dan agensi seismologi memberi amaran tentang gegaran susulan namun menolak gelombang tsunami kerana kedalaman gegaran itu.
Landasan dan laluan teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino terpaksa ditutup sementara dan operasi pengangkutan kereta api turut dihentikan untuk menjalankan pemeriksaan kerosakan.-AFP










