PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofian sekali lagi mengingatkan bahawa tentang perpaduan serta mahu sebarang kegiatan yang mengancam perkara itu dibanteras.
Seri Paduka bertitah, sebarang anasir yang mengancam perpaduan rakyat mesti dibanteras tanpa kompromi.
“Ia bukan sekadar tindakan undang-undang atau perbincangan antara pemimpin masyarakat ketika timbulnya guris hati dan amarah tetapi dalam penerapan amalan peradaban sehariam dalam kalangan rakyat. Ia mesti dipupuk serta sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa.
“Kita sebagai rakyat Malaysia, jangan lupa lima prinsip Rukun Negara yang juga menyatakan ‘Kesopanan dan Kesusilaan,” titah Seri Paduka.
Titah itu dikeluarkan dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2026 yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Seri Paduka bertitah, masih segar tentang stokin yang tertera kalimah Allah, bendera negara dikibarkan terbaik, al-Quran dipijak dan terdapat golongan kurang ajar di masjid serta mulut dan jari celupar yang sewenang-wenangnya mengapi-apikan kebencian, kemarahan serta perpecahan.
Titah Sultan Ibrahim, orang yang kurang ajar sama ada antara kaum masyarakat yang berbeza mahupun dalam kalangan satu jenis kaum sendiri tidak boleh diterima.
“Ingin saya ingatkan kepada semua akan pepatah ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ tatkala negara lain mengalami peperangan, kita harus bersyukur dengan keamanan yang sedang kita nikmati,” titah Seri Paduka.
Baginda turut mengingatkan pihak berkuasa dalam pengurusan isu-isu sensitif iaitu mesti berhemah dan mengambil kira semua aspek berkaitan serta tiada ruang untuk kesilapan.
“Tunjukkan tindakan yang diambil itu benar, tegas dan tepat agar tidak menghakis kepercayaan kepada pentadbiran negara.
“Saya berharap nasihat ini tidak dilupakan dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak,” titah Sultan Ibrahim.
Sementara itu, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith mendoakan rakyat serta suluruh negara dilindungi daripada musibah serta dikurniakan kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang kukuh.
“Berhati-hatilah di jalan raya dan makan dengan berhemah. Selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” titah Seri Paduka. – UTUSAN










