44 sekeluarga raya sedondon - Utusan Malaysia

44 sekeluarga raya sedondon

KELUARGA besar Muda Abdullah dan Khatijah Said meneruskan tradisi menggayakan pakaian sedondon semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Tok Dir, Marang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sejak lapan tahun lalu, sebuah keluarga dari Kampung Tok Dir di sini, tidak pernah terlepas menggayakan pakaian sedondon pada Hari Raya Aidilfitri yang menjadi tradisi bagi mereka.

Kedatangan 1 Syawal kali ini lebih meriah bagi keluarga besar Muda Abdullah dan Khatijah Said apabila 44 orang termasuk 12 adik-beradik dan 30 anak saudara berpakaian sedondon menyambut lebaran.

Seorang daripada mereka, Nurul Nadia Natasha Muda, 28, yang merupakan anak ke-10 dari 12 beradik berkata, tradisi itu bukan sahaja menceriakan suasana Aidilfitri, malah menjadi simbol kesepakatan dan keharmonian dalam keluarga mereka.

Katanya, idea memakai pakaian sedondon tercetus apabila semua adik-beradiknya sepakat mencadangkan pemilihan warna tema yang sama setiap kali menjelang hari raya.

“Setiap tahun kami beri cadangan warna dan buat undian. Warna yang mendapat undi paling banyak dipilih sebagai tema.

“Tradisi ini menyeronokkan kerana ia menggambarkan kesefahaman dan semangat kekeluargaan yang kuat dalam kalangan kami,” katanya di sini.

Nurul Nadia berkata, bagi Aidilfitri tahun ini, warna emerald green dipilih sebagai tema utama dan keputusan tersebut dibuat lebih awal bagi memudahkan semua ahli keluarga membuat persiapan.

“Biasanya kami tetapkan warna sejak tahun sebelumnya supaya semua sempat menyediakan pakaian masing-masing. Apabila berkumpul dan bergambar beramai-ramai, memang nampak lebih cantik dan tersusun bila semua sedondon,” katanya.

Menurutnya, ibu bapanya turut teruja untuk bersama-sama menggayakan pakaian sedondon pada pagi raya.

Dia berharap tradisi tersebut dapat diteruskan sebagai kenangan indah dan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan pada masa hadapan.

“Adik-beradik kami berusia antara 24 tahun hingga 43 tahun dan dengan kehadiran anak-anak saudara, suasana raya memang lebih meriah setiap tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN