SYDNEY: Seorang wanita berusia 48 tahun ditemukan selamat selepas hilang hampir lima hari di kawasan belukar tebal apabila kenderaan dipandunya terperangkap dalam lumpur di sebuah jalan mati.
Lapor Daily Mail, Lillian Ip sesat di hutan belantara Mitta Mitta tanpa rangkaian telefon pada 30 April lalu ketika melakukan perjalanan di sekitar Bright di timur laut Victoria.
Dia bertahan dengan hanya makan gula-gula lolipop dan sebotol minuman beralkohol yang dibawanya sepanjang lima hari berkenaan.
Keluarga wanita itu melaporkan kepada polis selepas menyedari kehilangannya pada setiap hari Ahad.
Ketika kejadian, Lillian dikatakan sedang memandu menuju ke Empangan Dartmouth apabila dia menyedari telah mengambil selekoh yang salah.
“Semasa cuba berpatah balik, kereta wanita itu terperangkap dalam lumpur.
“Talian telefon tidak berfungsi, jadi dia tidak dapat menghubungi talian kecemasan mahupun kenalannya untuk mendapatkan bantuan.
“Lillian juga tidak dapat berjalan untuk mendapatkan bantuan, jadi dia kekal berada berhampiran kenderaannya di Yankee Point Track pada minggu itu,” jelas laporan.
Dilaporkan, pasukan penyelamat menjalankan operasi pencarian di kawasan Mitta Mitta, Wodonga, Bright dan Albury selama lima hari namun gagal mengesan wanita itu.
Sebuah helikopter jabatan polis akhirnya menemukan kenderaan milik Lillian ketika melakukan pencarian di seluruh kawasan berbukit itu.
“Kenderaan polis kemudian digerakkan ke arah lokasi Lillian berada,” jelas laporan itu.
Satu rakaman video menunjukkan Lillian berdiri di atas tanah sambil melambai ke arah helikopter polis sebelum diselamatkan.
Lillian kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan dirawat kerana mengalami dehidrasi.