SSP BSN 2026 tawar ganjaran lumayan berjumlah RM28 juta

SSP BSN 2026 tawar ganjaran lumayan berjumlah RM28 juta

Jay Khairul Jeremy Abdullah (dua, kanan) pada Majlis Pelancaran BSN SSP 2026 di Karnival BSN SSP di Angsana Johor Bahru Mall, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ganjaran lumayan berjumlah RM28 juta termasuk wang tunai RM1 juta dan kereta mewah Porsche Macan menjadi tarikan utama Skim Simpanan Premium (SSP) BSN 2026, sekali gus mencetuskan keterujaan ribuan penyimpan setia Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Datuk Jay Khairul Jeremy Abdullah berkata, skim berkenaan yang memanfaatkan hampir 16,000 pelanggan itu diteruskan sebagai usaha konsisten institusi berkenaan memperkukuh budaya menabung dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurutnya, edisi 2026 mengekalkan hampir kesemua kategori cabutan sedia ada sebagai penghargaan kepada penyimpan yang setia dan berdisiplin.

“Selain peluang memenangi pelbagai hadiah menerusi cabutan bulanan, BSN SSP turut menawarkan kadar keuntungan yang kompetitif bergantung kepada jumlah simpanan.

“Ia menjadikan skim ini bukan sahaja menarik, malah selamat sebagai instrumen simpanan jangka panjang,” katanya sempena Majlis Pelancaran BSN SSP 2026 di Karnival BSN SSP di Angsana Johor Bahru Mall, di sini.

Beliau berkata, pelanggan yang membuat simpanan bermula RM5,000 layak menikmati kadar keuntungan sebanyak 1.8 peratus setahun, manakala simpanan melebihi RM50,000 pula berpeluang memperoleh pulangan sehingga 2.5 peratus setahun.

Menurut Datuk Jay Khairul, kemuncak BSN SSP 2026 ialah Cabutan Jutawan Bonanza dijadualkan pada Disember depan, menyaksikan seorang pemenang membawa pulang BSN SSP bernilai RM1 juta berserta sebuah Porsche Macan.

Bagi melayakkan untuk cabutan itu, pelanggan hanya perlu mengekalkan simpanan baharu minimum RM3,000 sebelum atau pada 30 Jun 2026 dan mengekalkannya sehingga 31 Disember 2026.

Dalam pada itu, BSN turut menawarkan hadiah bonus RM100,000 dalam bentuk BSN SSP setiap bulan, selain hadiah utama bulanan seperti Perodua MyVi, di samping Cabutan Penyimpan Baharu dengan tawaran BMW Motorrad C 400 serta Cabutan Simpanan Konsisten setiap suku tahun yang menawarkan kenderaan premium termasuk BMW iX1, Mercedes-Benz GLA 200 dan Mini Cooper Countryman.

Pelancaran BSN SSP 2026 turut disemarakkan dengan penganjuran Karnival BSN SSP di Johor Bahru selama enam hari bermula 30 Disember 2025 hingga 4 Januari 2026, menampilkan cabutan Disember bagi mencari Jutawan BSN SSP ke-119, penampilan selebriti popular serta pelbagai aktiviti literasi kewangan dan kekeluargaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN