13,563 hektar tanah terbiar dicadang dimanfaat menerusi inisiatif Projek Sejati Madani

13,563 hektar tanah terbiar dicadang dimanfaat menerusi inisiatif Projek Sejati Madani

AHMAD Maslan (tiga dari kiri) sewaktu merasmikan Majlis Cakna Ilmu Tanah: Perkongsian UTM & Komuniti Desa 2026 di Dewan Terbuka Kampung Parit Dato’ Onn, Api-Api, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Sebanyak 13,563 hektar tanah terbiar di seluruh negara tidak termasuk Sabah dan Sarawak dicadang dimanfaatkan sepenuhnya masyarakat setempat melalui pelaksanaan projek berimpak tinggi khususnya menerusi inisiatif Projek Sejati Madani.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, data tahun 2023 itu masih relevan untuk dijadikan rujukan dalam merangka dasar dan pelaksanaan projek pembangunan komuniti.

“Pelaksanaan projek Komuniti Madani boleh memfokuskan salah satu inisiatifnya untuk melaksanakan projek di atas tanah-tanah terbiar di kampung masing-masing.

“Pendekatan ini bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan tanah, malah mampu meningkatkan ekonomi serta kesejahteraan penduduk setempat,” katanya selepas merasmikan Majlis Cakna Ilmu Tanah: Perkongsian UTM & Komuniti Desa 2026 di Dewan Terbuka Kampung Parit Dato’ Onn, Api-Api, di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kerajaan kini sedang mempergiat pelaksanaan Projek Sejati Madani yang digerakkan di peringkat kampung menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Bagi memperluas projek itu, saya mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan penglibatan persatuan belia melalui Kementerian Belia dan Sukan.

“Sebagai Ahli Majlis Pembangunan Belia Malaysia di bawah Jawatankuasa Khas Kabinet, saya menerima banyak maklum balas daripada persatuan belia yang menyatakan hasrat untuk terlibat secara aktif,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN