PRU: Rakyat Thailand tunai kewajipan

PRU: Rakyat Thailand tunai kewajipan

SEORANG penduduk membuang undi di pusat pengundian di Bangkok, Thailand semalam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Jutaan rakyat Thailand menunaikan tanggungjawab mereka mengundi dalam pilihan raya umum (PRU) yang diadakan semalam dengan harapan kerajaan baharu yang dipilih dapat mentadbir dan membawa negara itu ke arah lebih baik dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kempen yang dijalankan sejak awal bulan lalu menyaksikan persaingan sengit antara parti pembangkang pro-demokrasi dan kerajaan konservatif disokong tentera pimpinan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha yang sudah hampir sedekad berkuasa.

PERATUS MENGUNDI TINGGI

Pengundian bermula pada pukul 8.00 pagi (waktu tempatan) di 95,000 pusat mengundi yang terletak di pelbagai kawasan dari pergunungan berhutan rimbun di utara hingga ke kawasan pantai di selatan negara itu.

Sebanyak 70 parti, 1,898 senarai ahli Parlimen dan 4,781 calon ahli Parlimen mendaftar untuk bertanding pada pilihan raya kali ini, manakala 63 orang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi 43 parti.

Peratusan keluar mengundi yang tinggi melebihi 80 peratus sejak pusingan awal pengundian Ahad lalu menunjukkan pengundi bersemangat mencari perubahan dan masa depan yang lebih cerah ketika negara dilanda jerebu terburuk tahun ini.

Perdana menteri baharu bakal dilantik secara bersama oleh 500 ahli Parlimen yang dipilih dan 250 ahli Senat yang dilantik oleh junta Prayut.

Dalam pilihan raya lalu yang penuh kontroversi pada 2019, Prayut menunggang sokongan Senat untuk menjadi Perdana Menteri menerusi ketua gabungan pelbagai parti yang kompleks.

Pilihan raya itu adalah yang pertama sejak protes pro-demokrasi diketuai oleh belia di seluruh Bangkok pada tahun 2020.

Demonstrasi mereda apabila sekatan Covid-19 dikenakan dan berpuluh-puluh pemimpin ditangkap, tetapi tenaga mereka meningkatkan sokongan untuk parti pembangkang Move Forward (MFP) yang lebih radikal.

Pemimpin MFP, Pita Limjaroenrat, 42, melawat jalan-jalan di Bangkok dengan sebuah jip terbuka pada Sabtu lalu, menggesa pengundi memberi peluang kepada generasi muda untuk mentadbir.

Ketika MFP mendapat sokongan daripada pengundi milenium dan Gen Z yang membentuk hampir separuh daripada 52 juta pengundi, pangkalan parti Pheu Thai pula berada di luar bandar timur laut di mana pengundi masih bersyukur dengan dasar kebajikan yang dilaksanakan oleh bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra pada awal 2000-an.

MENCARI KESTABILAN

Sementara itu, Prayut yang mengekalkan nada nasionalis meraih banyak sokongan pengundi lebih tua yang masih mempercayai beliau sebagai satu-satunya calon untuk menyelamatkan Thailand daripada huru-hara dan kehancuran.

Namun beliau kurang diyakini untuk mengembalikan kestabilan ekonomi berikutan pemulihan yang lemah ketika wabak Covid-19 melanda hingga menjejaskan industri pelancongan yang menjadi sumber penting negara itu.

Thailand juga sudah menyaksikan beberapa siri rampasan kuasa dalam tempoh seabad lalu dan pernah berdepan protes jalanan, rampasan kuasa dan perintah mahkamah yang membubarkan parti politik sejak dua dekad lalu. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya