Ketidakpadanan ganggu ekosistem tenaga boleh baharu negara - Utusan Malaysia

Ketidakpadanan ganggu ekosistem tenaga boleh baharu negara

KETIDAKPADANAN antara pembeli dan pembekal dalam ekosistem tenaga boleh baharu menjadi cabaran utama memastikan sumber tenaga hijau menjadi pilihan utama bagi para pemain industri di Malaysia. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketidakpadanan antara pembeli dan pembekal dalam ekosistem tenaga boleh baharu menjadi cabaran utama memastikan sumber tenaga hijau menjadi pilihan utama bagi para pemain industri di Malaysia.

Walaupun dalam Pelan Peralihan Tenaga Negara (NTER) kerajaan telah memperkenalkan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dan Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Diperbaharui Komuniti (CREAM) yang diselia oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), tetapi ia gagal menarik pembabitan masyarakat secara menyeluruh.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., syarikat yang mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam industri dalam industri tenaga boleh baharu, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, puncanya adalah disebabkan oleh ketidakpadanan tersebut.

Katanya, permintaan tenaga hijau oleh sektor korporat semakin meningkat tetapi mereka mahukan harga yang kompetitif dan fleksibel sementara pihak pembiaya pula mahukan kepastian jangka panjang bersama aliran tunai yang boleh diramal sebelum mereka menyediakan modal.

Akibatnya, kata beliau, para pemaju sektor tenaga boleh baharu ini yang terperangkap antara memenuhi permintaan yang bertambah dan mengimbangi dengan kos bagi memastikan margin keuntungan boleh menampung kos oparasi.

“CRESS dan CREAM telah mengubah Malaysia daripada pasaran tenaga boleh baharu yang diterajui utiliti kepada ekosistem tenaga yang lebih dipacu pasaran dan komuniti.

“Tetapi titik geseran yang perlu diberi perhatian ialah ketidakpadanan antara pemaju dan pembeli tenaga atau offtaker.

“Dilema sekarang ialah harga tenaga yang dijana oleh solar jauh lebih tinggi daripada yang konvensional. Jadi, bagi offtaker, lebih baik mereka bagi dari grid dan bukannya dari kami pada pemaju tenaga boleh baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada sesi perbincangan sempena Persidangan Transisi Tenaga 2026 (ETCon26) baru-baru ini.

Menurut Guntor, satu satu cara untuk memastikan harga tenaga hijau itu lebih kompetitif ialah dengan melakukan semakan pada Caj Akses Sistem (SAC) sama ada dihapuskan terus atau dikurangkan.

Katanya, jika tanpa SAC sekali pun, pelanggan tenaga hijau telah menyumbang dengan ketara melalui caj rangkaian untuk penggunaan infrastruktur penghantaran dan pengedaran di sampung caj kapasiti untuk menyokong kestabilan grid keseluruhan.
Sementara pemaju bawah struktur semasa pula katanyam telah menyediakan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) untuk manfaat utiliti.

“Ini telah menyumbang secara material ke arah kebolehpercayaan dan kestabilan grid.
Jika SAC dikekalkan hanya sepatutnya dikenakan ke atas aset tenaga boleh baharu yang tidak memiliki keupayaan BESS bersepadu,” katanya.

Namun katanya, rangka kerja SAC wajar disemak supaya cajnya memadai dan tidak membebankan pemaju hingga menyumbang kepada peningkatan kos operasi dan menyebabkan harga lebih mahal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN