AKHIRNYA Pas membuat keputusan menamatkan kerjasama politik mereka dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Langkah itu tidaklah mengejutkan jika mengambil kira ketegangan hubungan kedua-dua parti sejak kebelakangan ini, selain beberapa kenyataan yang saling menyindir dan menyerang antara satu sama lain.
Dalam setiap perpecahan sudah tentu ia membawa kelemahan. Melalui Perikatan Nasional (PN), kedua-dua parti ini telah mencatat kejayaan besar dengan memenangi 74 kerusi Parlimen serta membentuk kerajaan di empat negeri.
Putusnya hubungan Pas dan Bersatu bukanlah pengakhiran yang diharapkan seperti mana ketika PN mula-mula dibentuk dahulu.
Begitulah hakikat politik. Ia kadangkala tidak semata-mata mengenai soal menang atau kalah malah turut tentang kepercayaan. Seperti ditegaskan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari iaitu apabila kepercayaan mula terhakis, untuk memulihkannya bukanlah sesuatu yang mudah.
Mungkin berakhirnya kerjasama politik ini merupakan jalan penyelesaian terbaik buat Pas dan Bersatu agar kedua-duanya dapat meneruskan langkah ke hadapan dengan hala tuju masing-masing dalam landskap politik negara.
Tiada gunanya terus berada dalam gabungan yang sama sekiranya kepercayaan telah hilang dan syak wasangka semakin menebal. Apabila sudah tidak saling memahami, tiada apa yang untungnya sekiranya masing-masing saling menyakiti.
Namun, perkembangan terbaharu ini sedikit sebanyak menimbulkan persoalan mengenai pola pengundian pada pilihan raya akan datang. Parti manakah yang bakal mendapat kelebihan apabila semakin banyak gabungan dan parti politik memasuki gelanggang pertandingan? Situasi itu dijangka mula dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak lama lagi.
PN yang sebelum ini tampil sebagai blok politik berpotensi membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri kini berdepan ketidaktentuan selepas perpecahan tersebut.
Masa depan gabungan itu masih kabur, namun yang jelas kekuatannya tidak lagi sama. Pada masa yang sama, Pakatan Harapan (PH) juga berdepan cabaran tersendiri apabila PKR yang menjadi tunjang utama gabungan itu dihambat bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Dalam keadaan politik yang semakin berpecah, parti yang memiliki organisasi kukuh, jentera mantap dan sokongan akar umbi yang setia berkemungkinan mempunyai kelebihan. Ini kerana undi yang sebelum ini tertumpu kepada satu blok politik mungkin berpecah kepada beberapa pihak lagi.
Tambahan pula, dalam sistem First Past The Post kemenangan tidak semestinya memerlukan majoriti melebihi 50 peratus. Seseorang calon hanya perlu memperoleh undi paling tinggi berbanding pencabarnya untuk memenangi kerusi yang ditandingi.
Bagi rakyat dan pengundi pula, penyertaan lebih banyak parti politik menawarkan lebih banyak pilihan. Daripada sudut tertentu, keadaan ini boleh menyuburkan amalan demokrasi dengan memberi ruang kepada rakyat menilai pelbagai aspek seperti idea dan pendekatan kepimpinan yang ditawarkan.
Selain faktor parti, personaliti calon juga dijangka memainkan peranan penting. Tidak mustahil akan berlaku kejutan di beberapa kawasan sekiranya pengundi lebih cenderung memilih individu berbanding lambang parti yang diwakili.
Namun akhirnya, keputusan pilihan raya tetap akan ditentukan oleh gabungan pelbagai faktor termasuk kekuatan organisasi parti, sokongan ahli akar umbi, keberkesanan kempen, sentimen semasa serta isu-isu yang dekat dengan kehidupan rakyat di peringkat negeri dan Persekutuan. – UTUSAN
Badrul Hafizan Mat Isa ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Banyak parti bertanding, siapa paling untung?

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved