DUN Perlis berjalan seperti biasa – Speaker

DUN Perlis berjalan seperti biasa – Speaker

RUS'SELE EIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis masih berjalan seperti biasa di sebalik terlerainya hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, pada masa ini, pihaknya menanti arahan lanjut daripada Pas Pusat berhubung status kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri.

“Saya sedang menanti arahan selanjutnya daripada Pas Pusat dan DUN Perlis juga masih berjalan seperti biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mesyuarat Pas Pusat kelmarin bersetuju menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu selepas meneliti kedudukan dan hala tuju hubungan tersebut berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas akan meneroka suatu persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah termasuk menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun berkata, pihaknya juga sedang menantikan arahan selanjutnya daripada Pas Pusat sebelum sebarang tindakan diambil.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas negeri berkata, mereka juga bersedia sepenuhnya untuk menjadi pemudah cara bagi meneroka suatu bentuk persefahaman politik baharu (electoral pact).

Haziq percaya ia penting dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang dan memastikan agenda penyatuan ummah lebih tulen dan menyeluruh dapat dicapai.

“Pemuda Pas negeri menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap keputusan Pas pusat yang memutuskan hala tuju baharu kerjasama politik parti itu demi maslahah dan penyatuan ummah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN