PETALING JAYA: Selangor FC mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala FA selepas menyingkirkan Sabah dengan agregat 4-3, sebentar tadi.
Dalam aksi kedua pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini, skuad kendalian Kim Pan Gon menang 2-1.
Dalam aksi pertama di Stadium Likas sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat 2-2, skali gus menyaksikan aksi di stadium MBPJ menjadi penentu.
Kemenangan itu memastikan Gergasi Merah terus menghidupkan peluang untuk memburu trofi Piala FA musim ini selepas berjaya mengatasi cabaran skuad The Rhinos dalam pertembungan yang berlangsung penuh dramatik.
Dalam aksi kedua itu, Gergasi Merah berada di hadapan pada minit ke-36 menerusi penyudah Eduardo Sosa yang gagal diselamatkan penjaga gol Sabah, Juan Flere.
Tersentak dengan jaringan itu, Sabah memperkemaskan rentak pada babak kedua dan hasilnya mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Park Jung Bin pada minit ke-49.
Bagaimanapun, kedudukan itu hanya bertahan selama tujuh minit sebelum Selangor diberikan sepakan penalti apabila semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Farhan Roslan mengasari Sosa.
Pada mulanya sepakan Chrigor Moraes dinafikan Flere, namun penyerang berbisa Selangor itu berjaya memanfaatkan bola muntah untuk menggandakan kedudukan buat Gergasi Merah.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan Selangor cuba mengawal tempo permainan, manakala Sabah pula menggunakan peluang serangan balas untuk mengancam benteng tuan rumah.
Selangor bagaimanapun menunjukkan kematangan apabila berjaya menguruskan permainan pada saat-saat genting untuk memastikan perlawanan berakhir dengan keputusan 2-1 dan mereka layak ke suku akhir secara agregat 4-3.- UTUSAN










