Israel terus cetuskan ketegangan

Israel terus cetuskan ketegangan

GARIS cahaya kelihatan ketika sistem anti peluru berpandu, Iron Dome Israel memintas roket yang ditembak dari Semenanjung Gaza. -REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel dilaporkan mencetuskan lagi konflik dan ketegangan apabila Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan serangan udara terhadap kumpulan pejuang Hamas Palestin di selatan Lebanon dan melancarkan beberapa siri serangan balas udara di Gaza.

Akhbar Al-Manar yang di­sokong oleh kumpulan pejuang Hizbullah, Lebanon melaporkan, tiga serangan Israel meletus di kawasan lapang di wilayah Tyre, Lebanon dan jet Israel kelihatan berlegar-legar di ruang udara negara tersebut.

Serangan udara di Lebanon itu dilaporkan dilakukan beberapa jam selepas 34 roket didakwa dilepaskan dari Lebanon ke wilayah Israel, namun hampir semuanya berjaya disekat, satu serangan yang dipersalahkan tentera Israel ke atas pejuang Palestin.

“IDF tidak akan membenarkan pertubuhan Hamas bero­perasi dari dalam Lebanon dan menganggap negara Lebanon bertanggungjawab bagi setiap kemusnahan yang diarahkan dari wilayahnya,” kata IDF dalam satu kenyataan.

SOLIDARITI RAKYAT LEBANON
Bagaimanapun, pejuang Ha­mas menjawab dalam satu kenya­taan iaitu mengutuk sera­ngan tersebut selain menyatakan solidariti terhadap rakyat Lebanon.

Dalam kenyataan berasingan, mereka juga mengutuk sera­ngan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Terdahulu, seorang wartawan CNN di Gaza City berkongsi pengalamannya yang mendengar bunyi pesawat dan letupan, beberapa minit selepas IDF mengumumkan bahawa mereka me­nyerang Gaza.

Serangan Israel dilakukan di beberapa kawasan di Gaza dan Lebanon selain beberapa roket dilepaskan dari Gaza ke arah Israel sebagai tindak balas.

Dalam satu kenyataan, IDF berkata, jet pejuangnya melepaskan roket di dua terowong di Beit Hanoun dan Khan Yunis, bersama-sama dengan dua tapak pembuatan senjata Hamas sebagai tindak balas terhadap pelanggaran keselamatan Hamas sejak beberapa tahun lalu.

Serangan IDF juga mengenai kompleks pembuatan senjata bawah tanah dan tapak pembuatan senjata lain, kata IDF.

Malah, dron IDF berjaya meletupkan kawasan mesingan berat di utara Gaza yang digunakan untuk melepaskan tembakan ke arah jet IDF dan wilayah Israel.

BAYAR SETIAP HARGA PENCEROBOHAN
Beberapa jam sebelum IDF menyerang Gaza, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa Israel akan menghancurkan musuh dan mereka akan membayar setiap ‘harga’ untuk tindakan pencerobohan yang dilakukan.

Serangan dikatakan berlaku ketika api kemarahan memun­cak di seluruh wilayah berkenaan berikutan serbuan tentera Israel di Masjid al-Aqsa, salah satu tapak paling suci Islam, di Baitulmaqdis pada Rabu lalu.

Peristiwa pencerobohan di Masjid Al-Aqsa itu mendapat kecaman meluas dari dunia Arab dan Islam selain mencetuskan serangan roket balas dari Gaza ke Israel.

34 ROKET DILANCAR KE ISRAEL
IDF berkata, kira-kira 34 roket didakwa dilancarkan ke Israel dari Lebanon yang disifatkan serangan terbesar selepas perang 2006 di antara kedua-dua negara yang menyebabkan kira-kira 1,200 rakyat Lebanon dan 165 warga Israel terbunuh.

Video yang disiarkan dalam media sosial turut menunjukkan roket dari Lebanon melintasi ruang udara di utara Israel dan Israel menutup ruang udara utaranya susulan serangan itu.

Jurucakap tentera Israel berkata, mereka percaya Hamas atau kumpulan Jihad Islam Pa­lestin berada di belakang sera­ngan itu, bukannya Hizbullah.

Dalam pada itu, tentera Le­banon mengesahkan beberapa roket dilancarkan dari selatan negara itu, tetapi tidak menyatakan pihak mana yang melakukan tembakan.

Mereka berkata di Twitter bahawa sebuah unit risikan me­nemukan pelancar peluru berpandu dan beberapa roket yang bertujuan untuk diarahkan ke sekitar bandar Lebanon Zibqin dan Qlaileh.

“Pada masa ini, unit risikan sedang berusaha untuk membongkarnya,” ciap tentera ber­kenaan di Twitter.– CNN/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya