India bantah China ubah nama kawasan di Arunachal Pradesh

India bantah China ubah nama kawasan di Arunachal Pradesh

TENTERA India berkawal di laluan Bumla di sempadan India-China di Arunachal Pradesh pada Oktober 2012. - AFP  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: India menolak tindakan China yang cuba menamakan semula beberapa tempat di negeri Arunachal Pradesh.

Beijing mendakwa kawasan berkenaan merupakan sebahagian wilayahnya.

Lapor Al Jazeera, Kementerian Luar India menolak tindakan China menyeragamkan nama 11 tempat yang dianggap Beijing sebagai wilayah Tibet selatan.  

Jurucakap kementerian, Arindam Bagchi berkata, pihaknya pernah menyaksikan beberapa laporan sedemikian sebelum ini. 

“Ini bukan kali pertama China melakukan percubaan seperti itu. Arunachal Pradesh akan sentiasa menjadi sebahagian negara ini, ia tidak boleh dipisahkan dari India,” katanya menerusi Twitter.

Pertikaian baharu tercetus selepas Kementerian Hal Ehwal Awam China baru-baru ini dalam satu kenyataan memaklumkan Beijing sudah menyeragamkan nama 11 tempat termasuk lima kawasan pegunungan di Tibet selatan yang menjadi kawasan pertikaian dua negara berkenaan.

Kenyataan itu turut termasuk sebuah peta menunjukkan 11 tempat yang dinamakan semula oleh China, dengan negeri Arunachal Pradesh termasuk dalam wilayah Tibet selatan dan sempadan China dengan India ditandakan sebagai utara sungai Brahmaputra. 

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning menegaskan perubahan nama tempat itu adalah `mengikut skop kedaulatan negara’ itu.

“Wilayah Tibet selatan merupakan sebahagian China,” katanya dalam taklimat media di Beijing.    

China dan India pernah berperang di sepanjang bahagian 3,800 kilometer (km) yang tidak bersempadan pada tahun 1962.

Pertempuran antara tentera India dan China di kawasan pergunungan sejak beberapa tahun lalu menjejaskan hubungan antara kedua negara itu.

Sekurang-kurangnya 24 anggota tentera termasuk 20 askar warga India terbunuh apabila kedua-dua pihak bertempur di wilayah Ladakh, barat sempadan pada tahun 2020.

Namun, situasi menjadi reda selepas rundingan diplomatik dan ketenteraan diadakan. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN