SEOUL: Korea Selatan akan menawarkan elaun sara hidup bulanan sebanyak AS$500 (RM2,216) kepada anak-anak muda atau belia yang hidup kesepian atau terasing daripada masyarakat.
Langkah itu diambil bagi menggalakkan golongan belia untuk cuba bersosial dan menyertai semula masyarakat.
Lapor CNN, Kementerian Kesaksamaan Jantina dan Keluarga Korea Selatan mengumumkan bayaran elaun itu dalam usaha meningkatkan `kestabilan psikologi dan emosi serta kesihatan’ golongan itu.
Pendekatan baharu itu secara khusus menyasarkan golongan muda sebagai sebahagian Akta Sokongan Kebajikan Belia.
Akta itu bertujuan menyokong individu yang terasing daripada masyarakat serta golongan belia tanpa penjaga atau perlindungan sekolah yang berisiko terlibat dalam aktiviti jenayah kecil.
Elaun sara hidup bulanan itu ditawarkan kepada golongan muda kesepian berumur 9 hingga 24 tahun yang tinggal dalam isi rumah berpendapatan di bawah median pendapatan negara.
Golongan belia boleh memohon untuk mengikuti program itu di pusat kebajikan pentadbiran tempatan.
“Malah, penjaga, kaunselor atau guru mereka juga boleh memohon bagi pihak mereka,” kata kementerian dalam kenyataan.
Tambah kementerian dengan memetik Institut Kesihatan dan Hal Ehwal Sosial Korea, kira-kira 3.1 peratus rakyat berumur 19 hingga 39 tahun merupakan golongan muda yang dalam kesepian iaitu hidup terasing daripada masyarakat dan berdepan kesukaran untuk menjalani kehidupan normal.
Jelas kementerian, jumlah itu membentuk kira-kira 338,000 penduduk di seluruh negara, dengan 40 peratus daripada golongan itu mula mengasingkan diri ketika zaman remaja.
Dilaporkan, beberapa faktor dikatakan menjadi penyebab antaranya kesihatan mental, masalah kewangan, keluarga atau kesihatan.










