Dalang kebakaran di Mexico ditahan

Dalang kebakaran di Mexico ditahan

MIGRAN mengadu kepada pelawat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Mexico, Raul Arturo Ramirez (kanan) di luar pusat tahanan imigresen di mana 38 pendatang maut semasa kebakaran di Ciudad Juarez, negeri Chihuahua, Mexico pada 29 Mac lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Pendakwa raya Mexico menahan seorang pendatang yang dituduh memulakan kebakaran yang membunuh 39 orang di pusat tahanan imigresen berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS).

Lapor AFP, turut ditahan tiga pegawai imigresen dan seorang pengawal keselamatan swasta sebagai sebahagian daripada siasatan pembunuhan terhadap kebakaran yang bermula pada malam Isnin lalu.

Seorang pendakwa yang pakar dalam hak asasi manusia, Sara Irene Herrerias memberitahu, pihak berkuasa menuduh orang yang bertanggungjawab ke atas kemudahan di Ciudad Juarez kerana mereka tidak melakukan apa-apa untuk memindahkan tahanan sewaktu kejadian.

Waran tangkap dikatakan masih tertunggak untuk seorang lagi pengawal yang dikehendaki berhubung tragedi itu.

Menurut pihak berkuasa, mangsa yang maut ialah 18 warga Guatemala, tujuh warga Salvador, tujuh warga Venezuela, enam warga Honduras dan seorang warga Colombia.

Mereka yang cedera ialah 10 warga Guatemala, lapan warga Honduras, lima warga Salvador dan lima warga Venezuela.

Rakaman pengawasan video menunjukkan pengawal keselamatan meninggalkan tahanan dalam keadaan dikunci dari dalam ketika api merebak dan asap memenuhi bilik.

Menteri Keselamatan, Rosa Icela Rodriguez berkata, pusat tahanan itu kini ditutup.

Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador dilaporkan turut membuat lawatan ke Ciudad Juarez pada Jumaat lalu untuk melihat rawatan perubatan yang diberikan kepada mangsa yang tercedera.

Beberapa mangsa masih dalam keadaan serius, beberapa menggunakan ventilator mekanikal, kata Hospital Besar Ciudad Juarez.

Katanya, seorang lelaki dipotong empat jari.

Berpuluh-puluh pendatang membuat protes di luar sebuah sekolah di bandar tempat Lopez Obrador mengadakan mesyua­rat mengatakan bahawa mereka berasa dijenayahkan kerana mencari masa depan yang lebih baik di AS.

“Kami bukan penjenayah. Kami melarikan diri dari negara kami akibat dasar yang tidak baik,” seorang lelaki mengadu melalui mikrofon.

Lopez Obrador mengulangi tuntutannya sebelum ini supaya AS melabur lebih banyak di Amerika Latin supaya pendatang tidak merasakan keperluan untuk meninggalkan negara mereka.

Pelaburan Washington di Ame­rika Tengah berkurangan be­rbanding berbilion dolar yang di­peruntukkan dalam bantuan ketenteraan untuk Ukraine berikutan pencerobohan Rusia, katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.