Kebelakangan ini kecoh isu etnik Rohingya di negara ini. Mereka dikatakan warga asing paling ramai yang aktif bekerja dan berniaga di tepi-tepi jalan berdekatan Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Borong Selayang.
Terbaharu kecoh pula dengan pendedahan wujudnya penempatan haram komuniti itu di beberapa kawasan termasuk tinggal di rumah flat empat tingkat di Hulu Langat.
Kehadiran etnik tersebut memang dirasai dan ia tidak menghairankan kerana terdapat seramai 128,200 orang etnik itu yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia setakat April lalu.
Itu jumlah yang berdaftar dan tidak pasti berapa pula jumlah yang tidak berdaftar dan langsung tidak mempunyai dokumen.
Etnik tersebut berdaftar dengan UNHCR yang melindungi mereka di negara ini kerana Rohingya tidak diiktiraf di negara asal mereka, Myanmar yang turut memerangi etnik tersebut.
Indonesia terutama di Acheh dan Malaysia pula khususnya di Langkawi dan Perlis merupakan antara destinasi sasaran mereka untuk melarikan diri bagi menyelamatkan diri daripada keganasan.
Rekod sebelum ini menunjukkan sebahagian mereka separuh mati ketika tiba di perairan negara sebelum dikesan oleh pihak berkuasa. Atas nama kemanusiaan dan konvensyen antarabangsa, pelarian itu diterima dan tidak boleh dihantar balik ke negara asal demi keselamatan mereka.
Etnik tersebut bergerak di negara ini dengan menggunakan kad UNHCR. Dokumen UNHCR yang diperoleh membolehkan mereka dibantu, dilindungi dan tidak boleh diusir ke negara asal di mana kebebasan atau nyawa mereka mungkin terancam.
Ini dikenali sebagai prinsip non-refoulement dalam undang-undang antarabangsa. Setiap negara terikat kepada undang-undang adat antarabangsa tanpa mengira sama ada ia menandatangani Konvensyen 1951 Berkaitan Status Orang Pelarian atau tidak.
Malaysia juga terikat dengan konvensyen itu bagaimanapun etnik tersebut tidak terkecuali daripada undang-undang negara dan boleh dikenakan hukuman jika melanggar peraturan ditetapkan.
Mereka juga tidak akan berada lama di negara ini kerana sepatutnya mereka akan dipindahkan ke negara ketiga oleh UNHCR termasuk di negara-negara Eropah yang sedia membantu mereka. Ia telah pun dilakukan sebelum ini tetapi jumlahnya semakin terhad.
Keadaan ini sudah tentu memberi cabaran kepada negara seperti Malaysia dan Indonesia yang terus menerima kehadiran bot hanyut dari Myanmar.
Mereka yang ada di negara ini perlu diberi makan, perubatan juga perlu dijaga dan bagaimana pula dengan pendidikan kerana Rohingya bukan datang seorang diri tetapi turut membawa keluarga dan anak-anak kecil termasuk yang lahir di negara ini.
Ketika ini pula timbul isu seperti antipendatang asing dan Islamofobia di negara ketiga berkenaan yang sudah tentu menyebabkan program penempatan Rohingya terganggu dan Malaysia akan terus berhadapan dengan isu berkenaan.
Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pemangku Timbalan Pengarang Utusan Malaysia
Apa nasib Rohingya di Malaysia?

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved