BERA: Tanaman padi huma mampu menjadi harapan baharu bagi menangani isu krisis beras negara kerana ia tidak bergantung kepada sistem pengairan sawah yang kompleks.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, tanaman tradisional di tanah tinggi dan pinggir hutan itu malah boleh ditanam di persekitaran rumah, dalam skala kecil.
Katanya, ia boleh ditanam di persekitaran rumah dalam skala kecil dan digabungkan dengan inovasi moden seperti mesin padi mini bergerak, sistem fertigasi atau tanaman polibeg.
“Kaedah polibeg menjadikan padi huma lebih praktikal kerana varieti ini tidak memerlukan air bertakung seperti padi sawah. Jika dijalankan secara intensif, ia bukan sahaja membantu masyarakat desa tetapi menyokong kestabilan harga beras di bandar.
“Pengalaman tanaman padi bukit di Sabah dan Sarawak termasuk varieti terkenal seperti Beras Bario yang beraroma dan berkualiti tinggi membuktikan potensi besar padi huma. Dengan teknologi Institut Penyelidikan Pertanian Persekutuan (MARDI), pengeluaran Beras Bario di Sarawak meningkat sehingga tiga kali ganda.
“Begitu juga di Sabah dan komuniti Orang Asli di Semenanjung, hasil tanaman menunjukkan peningkatan signifikan. Kejayaan ini tidak boleh dipandang ringan.
“Sabah membangunkan Keningau sebagai hab moden dengan mekanisasi dan skim subsidi pertanian manakala komuniti Orang Asli mengekalkan padi bukit skala komuniti yang kini diintegrasikan sebagai produk agropelancongan berpendapatan tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Ahmad berkata, padi huma berdepan cabaran serangan burung, babi hutan dan haiwan liar, namun teknologi moden seperti jaring, sensor penggera serta fertigasi boleh digabungkan untuk menjadikannya sumber makanan strategik yang konsisten.
Katanya, galakan luar bandar perlu diperkukuh melalui agihan benih percuma, input pertanian, bengkel latihan dan pemantauan teknik penanaman moden serta jaminan pembelian balik oleh koperasi untuk pendapatan petani.
“Andaikan padi polibeg matang dalam 100 hari melalui fasa pertumbuhan hingga menuai. Keluarga empat orang memerlukan 26.6 kilogram (kg) beras sebulan (320kg setahun). Jika hasil purata 75 gram beras dalam satu polibeg, sekitar 355 polibeg aktif diperlukan setiap bulan untuk menampung keperluan makanan bulanan keluarga secara sara diri.
“Institusi penyelidikan seperti MARDI dan universiti, jabatan pertanian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor korporat mesti segera berganding bahu.
“Kajian varieti tanaman, rantaian bekalan, hingga ke peringkat pengeluaran beras mesti dilakukan dengan model yang jelas. Felda, dengan kawasan tersusun dan berstruktur, boleh menjadi pelopor projek segera ini,” katanya.
Sementara itu, kata beliau, statistik menunjukkan Malaysia masih bergantung kepada beras import sekitar 30 hingga 40 peratus daripada keperluan domestik.
“Kos pelaksanaan sawah padi semakin meningkat manakala kartel terus menguasai edaran. Petani kecil semakin terhimpit dan tanpa intervensi segera, mereka mungkin meninggalkan sektor ini,” katanya. – UTUSAN










