KUBANG PASU: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menyangkal dakwaan kononnya pendidikan tinggi negara tidak berkualiti, selain program pengajian ditawarkan universiti gagal memenuhi keperluan industri dan pasaran pekerjaan semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, program yang ditawarkan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di bawah akreditasi MQA adalah berkualiti dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Kualiti kita diterima pakai oleh satu dunia dan sebab itu kelulusan-kelulusan kita kalau (graduan) nak melanjutkan pelajaran ke luar negara memang tidak ada masalah.
“Justeru tuduhan-tuduhan yang menyatakan bahawa kualiti pendidikan dalam negara ini tidak berkualiti adalah tidak benar,” katanya pada sidang akhbar sebelum menyampaikan ceramah kebolehpasaran graduan di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini semalam.
Selain itu, beliau berkata, di peringkat MQA sendiri, setiap program yang ditawarkan IPT wajib mendapatkan input daripada pihak industri.
“Sekiranya input daripada industri tidak dimasukkan, maka mereka tidak akan mendapat akreditasi. Jadi maksudnya dalam kata lain, semua program memang ada penglibatan dengan industri,” ujarnya.
Katanya, MQA mahu memberi gambaran sebenar kepada masyarakat supaya mereka tidak bimbang dengan dakwaan-dakwaan berkenaan.
“Kita tahu ada sesetengah pihak di luar sana memainkan cerita-cerita yang tidak benar sehingga masyarakat merasa takut untuk melanjutkan pengajian ke universiti,” jelasnya.
Namun Mohammad Shatar berkata, dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar ketika ini, pelajar disaran menambah nilai dalam keupayaan diri.
“Persaingan mendapatkan pekerjaan itu sangat luar biasa kerana terlalu ramai orang yang bijak, maka dalam kalangan yang bijak itu, mereka perlu mempunyai nilai yang lebih daripada biasa.
“Antaranya adalah kemampuan para pelajar kita menguasai pelbagai bahasa, pastinya mereka mempunyai nilai tambah yang lebih luas selain mempunyai pemikiran kritis dan emosi yang stabil,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pihaknya sentiasa menambah baik kurikulum sedia ada mengikut kehendak industri bagi memastikan graduan yang dilahirkan kekal relevan dan mempunyai kebolehpasaran tinggi.
Kata beliau, UUM sentiasa memastikan program ditawarkan memenuhi keperluan semasa industri termasuk menerapkan elemen kecerdasan buatan (AI) dalam semua bidang pengajian selain mendapatkan pandangan industri yang diadakan tiga kali setahun. – UTUSAN










