Myra Embun penuhi pasaran pinggir Putrajaya

Myra Embun penuhi pasaran pinggir Putrajaya

DIBANGUNKAN di atas tanah pegangan bebas seluas 2.05 hektar, Myra Embun menggabungkan kediaman servis, ruang peruncitan dan sebuah hotel butik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MYRA, segmen pembangunan kediaman Oriental Interest Bhd. (OIB) memperkenalkan Myra Embun, sebuah pembangunan bercampur baharu di Jenderam yang direka bagi memenuhi pertumbuhan kawasan pinggir Putrajaya.

Dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 2.05 hektar, Myra Embun menggabungkan kediaman servis, ruang peruncitan dan sebuah hotel butik dalam satu pembangunan bersepadu yang telah menempatkan ia di antara pembangunan bercampur terawal di Jenderam, Dengkil.

Ketua Bahagian Pembangunan dan Sumber Manusia Myra, Akil Hassan berkata, pembeli hari ini mempunyai cita rasa yang lebih tinggi apabila menilai ciri-ciri dalam sesebuah rumah.

“Selain lokasi, mereka kini lebih menitikberatkan susun atur yang luas, aksesibiliti dan persekitaran yang dirancang dengan baik untuk menyokong gaya kehidupan keluarga dalam jangka panjang.

“Dengan perkembangan ka­wasan segitiga Putrajaya-Cyberjaya-Dengkil sebagai hab pekerjaan, pendidikan dan infrastruktur digital yang semakin matang, kami percaya permintaan terhadap kediaman yang menawarkan aksesibiliti serta keseimbangan gaya hidup pinggir bandar akan terus kekal kukuh,” katanya dalam kenyataan.

Terletak kira-kira lima kilometer (km) dari Putrajaya dan dihubungkan melalui jaringan lebuh raya termasuk Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lingkaran Putrajaya, Myra Embun berada di lokasi strategik yang menerima impak positif, hasil, daripada pembangunan berdekatan seperti Putrajaya, Cyberjaya, Dengkil dan Sepang.

Akil berkata, data suku pertama 2026 daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan pasaran kediaman kini semakin selektif, khususnya dalam segmen perumahan berstrata iaitu pembeli semakin mengutamakan ketersambungan, susun atur praktikal dan pelbagai pilihan gaya hidup bersepadu.

Katanya, data tersebut turut menunjukkan aktiviti pasaran kediaman yang kekal aktif di seluruh Selangor serta koridor pertumbuhan sekitar Kuala Lumpur Raya.

Beliau berkata, Myra Embun turut mengukuhkan kehadiran Myra di kawasan tersebut susulan sambutan positif terhadap fasa-fasa kediaman terdahulu di pembangunan Myra Saujana yang berhampiran.

Menurutnya, pengembangan berterusan ini mencerminkan keyakinan Myra terhadap potensi pertumbuhan kediaman jangka panjang di kawasan berkenaan serta permintaan pembeli yang terus berkembang.

“Myra Embun menampilkan dua menara kediaman dengan 594 unit kediaman servis yang akan dibangunkan dalam dua fasa.

“Ia menawarkan lima jenis susun atur dengan keluasan antara 700 kaki persegi hingga 1,490 kaki persegi, merangkumi unit dua, tiga dan empat bilik tidur. Harga bagi Myra Embun bermula sekitar RM250,000 untuk pelbagai jenis unit,” ujarnya.

Akil berkata, susun atur yang lebih luas direka bagi memenuhi keperluan pembeli rumah kali pertama, keluarga muda serta pembeli yang ingin menaik taraf ke ruang kediaman yang lebih selesa, ketika kebanyakan pembangunan kediaman baharu yang lain kini cenderung menawarkan keluasan binaan yang lebih kecil.

Tambahnya, selain komponen kediaman, Myra Embun turut mengintegrasikan ruang peruncitan, premis makanan dan minuman (F&B), pasar raya, kemudahan pengecasan kenderaan elektrik dan hotel butik bagi mewujudkan persekitaran yang lebih mampan berteraskan kemudahan harian dan aksesibiliti.

Jelasnya, projek ini juga merangkumi fasiliti gaya hidup dan komuniti termasuk ruang kerja kongsi, kawasan pertanian komuniti, dewan serbaguna, taman permainan berbumbung dan kemudahan rekreasi yang bertujuan menggalakkan interaksi sosial serta memupuk pembinaan komuniti.

“Teras falsafah perancangan Myra Embun ialah konsep tikar, yang diilhamkan daripada budaya tradisional Melayu yang melambangkan kebersamaan dan semangat berkumpul.

“Sejak turun-temurun, tikar menjadi ruang untuk orang ramai berkumpul, berkongsi cerita, menikmati hidangan dan meluangkan masa bersama dalam kehidupan seharian.

“Kami ingin mentafsirkan semula semangat itu di Myra Embun menerusi suasana tropika moden dengan ruang komuniti berlandskap yang menggalakkan interaksi lebih bermakna serta rasa kekitaan yang lebih erat,” jelasnya.

Myra Embun turut menawarkan parkir di aras yang sama bagi unit-unit di tingkat kediaman terpilih, pakej kelengkapan dan perhiasan rumah separa serta sistem keselamatan kad akses pintar untuk meningkatkan keselesaan dan ketenangan penghuni. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN