Russia-Ukraine lanjut perjanjian eksport bijirin

Russia-Ukraine lanjut perjanjian eksport bijirin

PBB berkata hampir 25 juta tan bijirin akan dieksport Ukraine di bawah perjanjian itu. -REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Satu perjanjian dilanjutkan bagi membenarkan Ukraine mengeksport berjuta-juta tan bijirin melalui Laut Hitam walaupun konflik berterusan dengan Russia.

Namun, tidak jelas berapa lama perjanjian itu akan bertahan dengan Ukraine meminta ia selama 120 hari, dan Rusia mahu menetapkannya selama 60 hari.

Lapor BBC, Russia bagaimanapun memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan membenarkan perjanjian itu berlanjutan lebih lama melainkan sekatan ekonomi terhadap Moscow dikurangkan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Turkiye dilaporkan membantu menjadi perantara dalam perjanjian eksport Julai itu berikutan kebimbangan krisis makanan global.

Ukraine adalah salah sebuah negara pengeluar bijirin utama dunia, tetapi aksesnya ke pelabuhan di Laut Hitam disekat oleh kapal perang Russia berikutan pencerobohan pada Februari tahun lalu.

Negara-negara yang mengalami masalah kekurangan makanan seperti Yemen sangat bergantung pada bekalan ini.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan perjanjian untuk pelanjutan itu pada Sabtu lalu.

“Perjanjian ini amat penting untuk bekalan makanan global. Saya berterima kasih kepada Russia dan Ukraine yang tidak melepaskan usaha mereka untuk lanjutan baharu serta tidak lupa kepada Setiausaha Agung PBB,” katanya.

Namun, Erdogan mahupun PBB tidak menjelaskan berapa lama perjanjian itu akan bertahan.

“Ukraine mahu ia dilanjutkan selama 120 hari, tetapi Rusia berkata ia hanya bersedia memperbaharui pakatan itu selama 60 hari lagi,” kata Erdogan.

Duta Russia ke PBB, Vassily Nebenzia berkata, Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS) mempunyai tempoh dua bulan untuk menghapuskan sebarang sekatan yang menyasarkan sektor pertanian Russia jika mereka mahu perjanjian itu diteruskan.

Katanya, Moscow mahu pengeluar Russia dapat mengeksport lebih banyak makanan dan baja ke seluruh dunia, tetapi sekatan Barat dikatakan menghalang mereka.

“Walaupun eksport makanan dan baja tidak disasarkan, sekatan ke atas pembayaran, syarikat insurans dan penghantar menyukarkan eksport,” ujarnya.

Russia pada peringkat awalnya menarik diri daripada perjanjian itu pada November tahun lalu, menuduh Ukraine menyerang armadanya di Crimea, tetapi ia menyertai semula.

Menurut PBB, perjanjian itu membenarkan hampir 25 juta tan bahan makanan dari pelabuhan Laut Hitam Ukraine mencapai pasaran global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN