Ramadan: Peraturan baharu Arab Saudi bangkit kemarahan umat

Ramadan: Peraturan baharu Arab Saudi bangkit kemarahan umat Islam

KANAK-KANAK dilarang dibawa ibu bapa ke masjid sepanjang bulan Ramadan di Arab Saudi. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Langkah Arab Saudi mengumumkan 10 set per­aturan baharu sepanjang bulan Ramadan tahun ini termasuk pengurangan bunyi pembesar suara masjid sewaktu solat tarawih membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Selain itu, peraturan baharu itu turut menetapkan penyiaran solat dalam masjid secara langsung di televisyen diharamkan selain ibu bapa juga dilarang membawa anak ke masjid untuk menunaikan solat.

Menerusi dokumen yang dikeluarkan dan diedarkan pada hari Jumaat lalu oleh Menteri Hal Ehwal Islam negara berkenaan, Sheikh Dr. Abdullatif Abdullaziz Al-Sheikh berkata, bulan suci Islam Ramadan akan dikawal dan mereka yang berada di dalam kerajaan Arab Saudi mesti mematuhinya.

TARAWIH TIDAK DIPANJANGKAN

Selain itu, katanya, perintah-perintah lain adalah solat tarawih tidak dipanjangkan dan solat tahajud hanya dilaksanakan pada 10 hari terakhir Ramadan.

“Jemaah juga tidak dibenarkan menggunakan kamera di masjid untuk mengambil gambar imam dan jemaah semasa menunaikan solat serta tidak menyebarkan doa atau menyiar­kannya dalam semua jenis media,” kata Abdullatif.

Kementerian itu juga mela­rang masjid daripada mengutip derma untuk menganjurkan jamuan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, juadah berbuka puasa pula mesti diadakan di kawasan yang ditetapkan iaitu di halaman masjid dan bukannya di dalam masjid itu sendiri selain dijalankan di bawah tanggungjawab imam dan muazin.

Imam juga diberi tanggungjawab membenarkan jemaah yang ingin tinggal di masjid untuk i’tikaf serta tiada bilik atau khemah sementara disediakan untuk berbuka puasa.

Para imam dan muazin juga dikehendaki hadir sepanjang tempoh bulan Ramadan ini kecuali jika diperlukan di mana ketidakhadiran mereka haruslah tidak melebihi waktu yang ditetapkan.

UMAT ISLAM MARAH

Peraturan dan sekatan baharu ini bagaimanapun membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia ter­utamanya dalam media sosial.

Ramai warganet khususnya umat Islam menyatakan rasa kecewa mereka menerusi ciapan Twitter dan status Facebook, malah, terdapat portal yang turut lantang memainkan isu berkenaan.

Di Twitter, terdapat pengguna menyatakan rasa tidak berpuas hati dan tidak bersetuju mereka dengan perkara tertentu, tetapi mengakui rasional di sebalik pelaksanaannya.

Menurut mereka, masyarakat Islam di negara lain seharusnya tidak menghadapi sebarang masalah atau sekatan sepanjang bulan Ramadan berkenaan.

Seorang pengguna media sosial lain menyebutnya sebagai karut dan menyedihkan manakala seorang lagi mengatakan ia merupakan satu lagi percubaan untuk merendahkan imej Islam secara perlahan-lahan.

“Sudah tiba masanya untuk tamatkan monarki mutlak yang jahat,” ciap Twitter daripada seorang pengguna lain.

IDENTITI BAHARU ARAB SAUDI

Menurut penganalisis, Sami Hamdi dalam ciapannya di Twitter, perubahan itu mewa­kili satu langkah ke arah identiti baharu Arab Saudi yang tidak mengutamakan Islam sebagai tonggak utama.

Sami menyatakan bahawa Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman cuba menolak Islam keluar dari kehidupan awam.

Tambah Sami, memandang­kan Ramadan adalah masa ibadat dan perayaan, adalah penting untuk membenarkan khemah-khemah kecil di mana orang ramai boleh berkumpul, beramah mesra dan berhubung.

Malah, katanya, semua orang Islam perlu dilayan secara sama rata, tanpa mengira bangsa atau kaum. –Middleeastmonitor/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya