Paris dicemari longgokan sampah - Utusan Malaysia

Paris dicemari longgokan sampah

LONGGOKAN sampah tidak dikutip di luar kawasan pasar raya di Paris.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Timbunan sampah yang tidak dikutip di kota Paris berikutan mogok terhadap pembaharuan pencen yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu merosakkan pengalaman percutian ramai pelawat asing yang berkunjung ke negara itu.

Pemungut sampah perbandaran ibu negara Perancis dilaporkan melancarkan mogok sebagai tindak balas terhadap rang undang-undang untuk menaikkan umur persaraan dan meningkatkan caruman bagi mendapatkan pencen penuh.

MEROSAKKAN PEMANDANGAN

Pelancong Portugis, Fabio Figueirado, 25,  yang mengagumi bangunan indah dan percutian romantis di Paris mengakui terkejut selepas dia dan teman wanitanya tiba di bandar itu Isnin lalu.

“Saya tidak pernah melihat bandar dengan begitu banyak sampah di jalanan,” katanya. 

Seorang lagi pelancong dari Colombia, Martha Velasquez, 52, pula meluahkan rasa kecewa kerana terpaksa menikmati aiskrim bersama keluarganya dengan dikelilingi beg sampah hitam.

“Mereka sepatutnya mengumpul sampah-sampah ini sekali seminggu. Saya rasa amat sedih melihat begitu banyak sampah di bandar yang indah ini. Pihak berkuasa perlu melakukan sesuatu,” katanya.

Namun, pelancong Amerika Syarikat (AS), Daniel Gore, 53, berkata, dia juga menghormati mereka yang mogok.

“Paris biasanya sangat bersih. Kali ini kami jelas melihat perbezaan  bahawa terdapat sampah bertimbun tetapi kami juga tahu sebabnya dan kami faham,” katanya.

Menurut pihak berkuasa, tindakan mogok itu menyebabkan lebih 6,600 tan sampah bertimbun di kaki lima di sekitar ibu negara.

Sementara itu, Presiden Pejabat Pelancongan Paris, Jean-François Rial mengakui sampah-sampah itu menjejaskan pemandangan dan kemasukan pelawat asing.

Namun beliau yakin mogok yang berterusan tidak akan memberi kesan kepada jumlah pelancong di Paris.

BUKAN KERJA MUDAH

Pemungut sampah dan kakitangan pembersihan perbandaran ibu kota dilaporkan mengundi untuk melanjutkan mogok mereka sehingga Isnin depan.

Menurut Kesatuan Sekerja CGT, kakitangan pemungut sampah dan pemandu trak menentang umur persaraan mereka dilanjutkan daripada 57 kepada 59 jika undang-undang baharu itu diluluskan.

Mereka juga mahukan kenaikan gaji supaya mereka dapat menerima pencen yang lebih tinggi.

Kakitangan pembersihan bandar, Murielle Gaeremynck, 56, berkata, dia  bekerja selama lebih dua dekad dan sepatutnya bersara tahun depan.

“Tetapi apabila saya bersara, saya tahu saya akan menjadi miskin kerana tidak berupaya mendapat pencen penuh dengan akta baharu itu,” katanya.

Nabil Latreche, 44, berkata, dia dan pemungut sampah di kawasan perbandaran lain di Perancis mempunyai pekerjaan yang meletihkan dan layak bersara lebih awal.

“Kami perlu bekerja sepanjang masa tidak kira ketika hujan lebat, salji atau ribut melanda.

“Apabila kami duduk di belakang trak, kami menghidu pelbagai jenis asap. Kami sering sakit akibat kerja,” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.