Jenayah kebencian meningkat di AS - Utusan Malaysia

Jenayah kebencian meningkat di AS

SEORANG lelaki meletakkan bunga di sebuah tugu peringatan mangsa yang terbunuh dalam kejadian tembakan beramai-ramai di pasar raya Tops di Buffalo, New York Mei lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapati jenayah kebencian di Amerika Syarikat (AS) meningkat hampir 12 peratus sejak dua tahun lalu yang kebanyakannya didorong oleh masalah perkauman dan etnik.

Data FBI yang dikeluarkan kelmarin menunjukkan jenayah kebencian meningkat daripada 8,120 kes pada 2020 kepada 9,065 pada 2021 dengan hampir 65 peratus mangsa menjadi sasaran kerana kaum, etnik atau keturunan mereka. 

Sebanyak 15.9 peratus lagi jenayah kebencian adalah berdasarkan orientasi seksual dan 14.1 peratus lagi melibatkan agama.

“Daripada 8,327 kesalahan jenayah kebencian yang diklasifikasikan, 43.2 peratus adalah ugutan, 35.5 peratus adalah serangan mudah dan 20.1 peratus adalah serangan teruk,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

Laporan itu dikeluarkan ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai keganasan terhadap komuniti minoriti oleh golongan yang mengagungkan ketuanan kulit putih dan kumpulan kebencian lain.

Kategori jenayah paling tinggi dilaporkan ialah anti-kulit hitam, anti kulit putih, anti lelaki gay, anti Yahudi dan anti Asia.

Laporan tersebut juga mewakili usaha kali pertama oleh FBI dalam melaporkan trend jenayah kebencian dengan lebih yakin sejak agensi itu beralih kepada kaedah pengumpulan data baharu.

Laporan terkini itu menggabungkan data dari bandar yang belum membuat perubahan kepada format pelaporan baharu, sekaligus mengisi beberapa jurang yang wujud sebelum ini.

Pada tahun 2021, Peguam Negara AS, Merrick Garland menawarkan negeri dan majlis perbandaran sumber tambahan untuk tugas menjejak dan meneliti jenayah kebencian.

“Jenayah kebencian dan kemusnahan yang ditimbulkan kepada masyarakat tidak mempunyai tempat di negara ini. 

“Jabatan Kehakiman komited kepada setiap alat dan sumber yang kami gunakan untuk memerangi keganasan yang bermotivasikan amalan berat sebelah dalam semua bentuk,” kata Peguam Negara Bersekutu, Vanita Gupta.

Persatuan Psikologi AS mengaitkan jenayah kebencian memberi impak buruk kepada komuniti terutama masalah psikologi dan tahap keyakinan diri yang rendah dalam kalangan kumpulan yang dikaitkan dengan mangsa.

“Jenayah kebencian menghantar mesej kepada ahli keluarga atau kumpulan terdekat dengan mangsa bahawa mereka tidak disenangi, tidak selamat dalam komuniti selain turut menjadikan seluruh kumpulan itu sebagai mangsa,” kata persatuan itu.

Februari lalu, seorang lelaki kulit putih dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol kerana menembak mati 10 orang kulit hitam pada Mei 2022 di sebuah kedai runcit di Buffalo, New York.-REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.