PETALING JAYA: Setel Ventures Sdn. Bhd. (Setel) memperkenalkan ciri Pembayaran Bil yang membolehkan pengguna membayar utiliti penting secara terus melalui aplikasi Setel, sekali gus memudahkan rakyat Malaysia mengurus bil isi rumah mereka.
Menurut kenyataannya, ciri ini membolehkan pengguna membuat pelbagai bayaran bil penting termasuk bil termasuk utiliti, air, telekomunikasi dan perkhidmatan jalur lebar dalam satu platform yang mudah dan lancar.
Jelasnya, dengan integrasi bersama 25 penyedia bil seperti Astro, CelcomDigi, TM, Air Selangor dan Indah Water, pengguna kini boleh mengurus komitmen bulanan dengan lebih pantas dan teratur, dengan lebih banyak penyedia bil akan ditambah tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Abdullah Ayman Awaluddin berkata, pengenalan ciri Pembayaran Bil ini merupakan satu lagi langkah dalam evolusi untuk memenuhi keperluan harian pengguna yang semakin meluas, bukan hanya terhad kepada pengisian minyak.
Katanya, Setel merupakan aplikasi yang dibangunkan berasaskan keperluan rakyat dan pihaknya percaya teknologi harus memudahkan kehidupan dengan menjadikan perkhidmatan penting lebih mudah diakses, mesra pengguna dan menyeluruh.
“Kami memastikan setiap penambahbaikan memberi nilai sebenar kepada kehidupan seharian. Sebagai jenama tempatan, kami kekal komited membangunkan solusi yang praktikal, relevan dan dekat dengan realiti pengguna.
“Menuju ke hadapan, Setel akan terus berkembang sebagai platform yang bukan sahaja berinovasi, tetapi juga memberi pengalaman bermakna kepada rakyat Malaysia dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.
Bagi meraikan pelancaran ini, Setel menawarkan pulangan tunai 10 peratus kepada pengguna bagi transaksi pembayaran bil, tertakluk kepada maksimum RM10 sebulan.
Setel berkata, promosi ini berlangsung dari 18 Mei hingga 18 Julai 2026, memberikan penjimatan tambahan serta menggalakkan pengguna menikmati kemudahan ciri tersebut.
Katanya, sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju pertumbuhan yang lebih luas, Setel terus mempelbagaikan ekosistemnya dengan ciri-ciri dan perkhidmatan baharu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform harian yang dipercayai oleh rakyat Malaysia.
Tambahnya, pengguna boleh log masuk ke aplikasi Setel, atau melayari saluran media sosial rasmi Setel serta laman webnya di www.setel.com bagi mendapatkan maklumat lanjut. – UTUSAN










