Rafizi, Nik Nazmi sudah serah surat letak jawatan kepada Speaker Dewan Rakyat

Rafizi, Nik Nazmi sudah serah surat letak jawatan kepada Speaker Dewan Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul bagi memaklumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen Pandan serta Setiawangsa.

Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan Nik Nazmi yang juga bekas Naib Presiden PKR dalam satu kenyataan bersama berkata, pengosongan kerusi Parlimen itu dibuat hari ini berikutan hasrat mereka berdua untuk meneroka hala tuju politik baharu.

Bagaimanapun, mereka menegaskan akan kembali bertanding di Parlimen sama pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, namun kali ini berbeza di bawah Malaysian United Party (MUP) bukannya Pakatan Harapan (PH).

“Sebentar tadi, kami sudah menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk memaklumkan peletakan jawatan kami sebagai Ahli Parlimen.

“Langkah yang tepat dan terhormat adalah memulangkan kembali mandat itu kepada pengundi di Parlimen Pandan dan Setiawangsa, memandangkan kami dipilih atas tiket PH pada PRU lalu.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi Pandan dan Setiawangsa yang memilih kami mewakili mereka di Parlimen untuk dua penggal.

“Bagaimanapun, pusat khidmat kami akan beroperasi seperti biasa untuk terus memberi bantuan dan khidmat kepada pengundi,” kata mereka dalam kenyataan dimuat naik di Facebook Nik Nazmi hari ini.

Dalam hantaran sama, Nik Nazmi turut memuat naik surat peletakan jawatannya sebagai Ahli Dewan Rakyat yang dihantar ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, bertarikh 18 Mei 2026.

Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar PKR serta mengambil alih MUP yang ditubuhkan pada 2016.

Nik Nazmi bersama Rafizi turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa hari ini.
Sementara itu, Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat sebentar tadi mengesahkan pihaknya menerima notis peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen daripada Rafizi dan Nik Nazmi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN