Belgium haramkan TikTok pada telefon kerja penjawat awam

Belgium haramkan TikTok pada telefon kerja penjawat awam

MAJLIS keselamatan negara Belgium memberi amaran mengenai risiko berkaitan dengan sejumlah besar data dikumpulkan oleh TikTok. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Kerajaan Belgium melarang penjawat awam menggunakan aplikasi media sosial, TikTok pada telefon yang digunakan untuk tujuan kerja mereka.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo dalam satu kenyataan.

Menurut De Croo, majlis keselamatan negara memberi amaran mengenai risiko berkaitan dengan sejumlah besar data dikumpulkan oleh TikTok yang dimiliki syarikat China ByteDance.

Jelasnya, amaran itu turut berkait dengan syarikat itu dikehendaki bekerjasama dengan perkhidmatan perisikan China. 

“Ini realitinya, itu sebabnya adalah logik untuk melarang penggunaan TikTok pada telefon yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan. 

“Kita harus memelihara keselamatan maklumat negara ini,” katanya.

Sementara itu, TikTok dalam satu kenyataan menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan negara itu yang disifatkannya dibuat berdasarkan ‘maklumat yang salah’.

Menurut jurucakap firma itu, TikTok menyimpan data pengguna di Amerika Syarikat (AS) dan Singapura serta sedang membangunkan pusat data di Eropah.

“Kerajaan China tidak boleh memaksa negara-negara berdaulat lain untuk berkongsi data yang disimpan di wilayah masing-masing,” katanya.

Bulan lalu, Suruhanjaya Eropah dan Parlimen Eropah mengharamkan aplikasi TikTok pada telefon kakitangan berikutan bimbang terhadap syarikat itu serta sama ada kerajaan China boleh mengumpul data pengguna atau melaksanakan agendanya.   

Bagaimanapun, China berulang kali menafikan mempunyai niat sedemikian. – REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya