ANTAKYA (Turkiye): Tidak puas hati kerana tidak mendapat sumbangan makanan, seorang pelarian Syria melompat masuk ke belakang lori dan kehadirannya hanya disedari selepas lori bergerak lebih dua kilometer serta memasuki kawasan lebuh raya.
Apabila lori berhenti di tepi jalan untuk menyuruh ‘penumpang’ itu keluar, muncul pula sebuah motosikal yang rupa-rupanya mengekori lori sejak dari lokasi penyerahan bantuan, kerana mahukan lebih banyak sumbangan.
Itu antara situasi dialami sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) ketika menyampaikan bantuan kepada pelarian Syria yang menjadi mangsa gempa bumi di sekitar bandar ini pada 23 Februari 2023.
Antakya yang jumlah penduduknya kira-kira 400,000 dengan hampir separuh daripadanya pelarian Syria adalah antara bandar yang paling teruk terkesan akibat gempa bumi berskala 7.8 magnitud yang berlaku pada 6 Februari lalu.
Lebib 1,000 bangunan runtuh dan ribuan penduduknya terkorban, malah masih banyak lagi mangsa dipercayai terkorban dan mayat masih berada di bawah timbunan bangunan kerana sukar dikeluarkan.
Setiausaha Agung MCM, Ahmad Safuan Ujar berkata biarpun matlamat utama anggota misi kedua MCM seramai sembilan orang itu adalah menyampaikan bantuan di Syria, namun mereka tidak melepaskan kesempatan untuk menyaksikan kesan gempa di Antakya.

Menurutnya, secara keseluruhan sejumlah RM350,000 diperuntukkan untuk membantu mangsa gempa bumi di Syria dan Turkiye menerusi misi kumpulan kedua ini selepae kumpulan pertama seramai lima orang pulang pada 14 Februari lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah peruntukan itu lebih RM10,000 digunakan untuk bantuan pek makanan kepada 50 keluarga pelarian Syria di sekitar bandar ini terutama mereka yang masih tinggal di dalam khemah.
“Turut menjadi mangsa ialah keluarga petugas MCM (cawangan) Turkiye/Syria. Ada yang terbunuh, cedera dan mayat masih belum berjaya dikeluarkan daripada runtuhan.
“Malah, Pengarah MCM Turkiye/Syria, Muhammad Khatib sendiri menunjukkan kepada kami lokasi di mana bapa saudara dan sepupunya masih belum berjaya dikeluarkan daripada runtuhan pangsapuri tempat mereka tinggal,” katanya.
Sementara itu, tinjauan mendapati kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan bangunan dilakukan dengan begitu agresif dengan deretan jentolak serta lori memenuhi setiap kawasan terjejas.
Pujian juga harus diberi kepada pihak berkuasa tempatan yang begitu pantas membaiki beberapa jalan raya utama yang rosak bagi memastikan urusan jalinan pengakutan bandar ini dengan kawasan berhampiran tidak lumpuh.
Biarpun sudah hampir tiga minggu berlalu, gempa susulan masih lagi berlaku dengan yang terbaru berukuran 4.7 magnitud pada jam 6.50 petang, 23 Februari ketika peserta misi MCM baru selesai menunaikan solat maghrib berjemaah di lokasi penginapan di Iskenderun.
Menurut laporan terkini, jumlah kematian direkodkan akibat gempa bumi pada 6 Februari lalu sudah mencecah 50,000 orang dengan lebih 43,000 di Turkiye manakala bakinya di Syria.










