Lebuh raya berbasikal terpintar dunia di Dubai

Lebuh raya berbasikal terpintar dunia di Dubai

SYARIKAT Pemaju URB menunjukkan reka bentuk lebuh raya berbasikal tertutup sepanjang 93 kilometer yang bakal dibina mengelilingi bandar Dubai.-AGENSI

DUBAI: Dubai bakal memiliki infrastruktur berbasikal dan berjalan kaki paling pintar di dunia melalui pembinaan lebuh raya tertutup sepanjang 93 kilometer yang akan membolehkan orang ramai mengelilingi bandar itu tanpa menggunakan bahan api fosil.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Pemaju URB, Baharash Bagherian berkata, projek tersebut bertujuan untuk menjadikan Dubai sebagai satu-satunya bandar di dunia yang dihubungkan dengan hanya berjalan kaki atau berbasikal.

Lapor CNN, struktur lebuh raya mega dipanggil ‘The Loop’ itu direka khas mengelilingi Dubai dan turut dilengkapi koridor hijau bebas kenderaan yang dipenuhi dengan pokok serta tumbuhan untuk penduduk berjalan atau berbasikal di sekitar bandar.

Projek berkenaan dijangka siap menjelang tahun 2040.

Syarikat URB juga sedang merangka projek agro pelancongan istimewa  untuk padang pasir Dubai yang mampu menjadi penanda aras baharu bagi pertanian mampan, pendidikan alam sekitar dan pelancongan hijau di rantau ini.

Binaan panjang menjalar berbentuk seperti kanopi keluli gergasi itu akan mempunyai loji biogas sendiri bagi menjana tenaga daripada sisa organik manakala sebahagian daripada pembangunan akan berada di bawah tanah untuk memastikan bangunan kekal sejuk.

“Sebut sahaja agro pelancongan, pasti ramai terfikir tentang ladang dan aktiviti memetik buah. Tetapi projek ini bakal mencipta satu kelainan yang akan memberi manfaat ekonomi hijau kepada semua golongan tidak kira sama ada anda seorang peruncit, petani mahu pun pengguna,” kata Baharash.

Projek hab pertanian itu bakal dimulakan tahun depan meliputi kira-kira 40 hektar kawasan luas yang dirancang untuk menempat ruang pendidikan, penyelidikan, pondok eko, kedai, restoran serta kafe unik yang menghidangkan produk segar dari ladang di sekelilingnya.

“Seluruh dunia sedang menuju ke arah ekonomi yang lebih hijau. Kumpulan yang akan memiliki ekonomi paling kukuh adalah mereka yang mampu beralih ke arah kemampanan pada peluang seawal mungkin dengan projek seperti ini.

“Memandangkan air tawar adalah terhad di Dubai, projek ini direka untuk menampilkan pertanian ‘bio-saline’, di mana tanaman ditanam dalam air masin dan menggunakan air kitar semula untuk mengairi kawasan sekitar.¬†

“Kawasan ini akan menampilkan tumbuhan tahan kemarau serta taman hujan dan kawasan bioretensi yang tidak memerlukan pengairan serta mewujudkan habitat untuk burung dan serangga,” jelasnya.

Baharash sebelum ini mengetuai reka bentuk untuk fasa kedua projek ‘The Sustainable City’ di Dubai selain mengusahakan komuniti hijau serupa yang sedang dalam pembinaan di Yiti, Oman dan Pulau Yas di Abu Dhabi.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN