Tujuh terbunuh serangan di rumah ibadat Baitulmuqaddis - Utusan Malaysia

Tujuh terbunuh serangan di rumah ibadat Baitulmuqaddis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Seorang warga Palestin menembak mati tujuh orang di luar rumah ibadat Baitulmuqaddis semasa upacara Sabat kaum Yahudi semalam.

Serangan berlaku sehari selepas konflik Israel dan Palestin semakin memuncak termasuk serbuan tentera Israel di Tebing Barat yang menyebabkan sembilan orang terbunuh akibat tembakan roket dari Gaza dan serangan balas Israel.

Ketua Polis Israel, Kobi Shabtai menyifatkan kejadian tembakan di kawasan Neve Yaakov sebagai salah satu serangan terburuk yang pernah mereka hadapi sejak beberapa tahun lalu.

“Sekitar jam 8.15 malam waktu tempatan, seorang penembak tiba di rumah ibadat di Neve Yaakov dan terus menembak ke arah beberapa orang di kawasan itu.

“Akibat serangan itu, tujuh orang awam disahkan maut dan tiga orang lagi cedera,” katanya.

Lelaki bersenjata itu melarikan diri dari tempat kejadian dengan sebuah kereta, bagaimanapun berjaya dikesan dan dibunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis.

Polis telah mengenal pasti lelaki bersenjata itu sebagai penduduk Palestin di timur Baitulmuqaddis.

Polis Israel turut menahan 42 orang berikutan kejadian tembakan itu termasuk ahli keluarga lelaki bersenjata Palestin berkenaan.

Keganasan semakin meningkat sebulan selepas kerajaan baharu, pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengambil alih kuasa.

Netanyahu dan Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir melawat tempat kejadian semalam, ketika orang ramai melaungkan slogan ‘kematian kepada orang Arab’.

Netanyahu berkata, Kabinet keselamatannya akan mengumumkan langkah segera sebagai tindak balas dan menggesa rakyat Israel supaya tidak melaksanakan undang-undang di tangan mereka sendiri.

Di Gaza dan di beberapa lokasi di Tebing Barat, rakyat Palestin meraikan serangan itu, termasuk di Ramallah di mana orang ramai bersorak dan mengibarkan bendera Palestin.

Tembakan itu disifatkan sebagai salah satu serbuan terhadap tentera Israel yang paling ganas di Tebing Barat yang diduduki sejak intifada kedua atau pemberontakan Palestin pada tahun 2000 hingga 2005.

Selepas tembakan itu, jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata, serangan itu membuktikan penentang tahu bagaimana untuk mencari tindak balas yang sesuai terhadap jenayah Israel.

Washington sebelum ini mengumumkan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken akan melawat Israel dan wilayah Palestin untuk mendesak kitaran keganasan dapat dihentikan.

Jurucakap Jabatan Negara AS mengesahkan semalam bahawa lawatan itu akan diteruskan dan berkata, Blinken akan membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan ketegangan.

Sekurang-kurangnya 26 warga Israel dan 200 rakyat Palestin terbunuh di seluruh Israel dan wilayah Palestin tahun lalu, majoritinya di Tebing Barat. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya