KUALA LUMPUR: Pelakon, Aaron Aziz, mengakui berdepan cabaran besar ketika menjayakan watak Rashdan dalam filem 5 Bomoh yang menuntutnya memakai gigi palsu sepanjang penggambaran.
Menurut Aaron, 50, gigi palsu yang direka untuk menampilkan wataknya sebagai seorang berggigi arnab itu dilengkapi cangkuk besi, sekali gus memberi kesan terhadap pertuturan dan menyebabkan ulcer.
“Memang ada rasa sakit kerana di dalamnya terdapat cangkuk besi. Kadangkala, besi itu menyebabkan ulcer (serawan mulut).
“Bukan itu sahaja, ia turut mengganggu pernafasan setiap kali saya ingin melontarkan dialog. Sebab itu, jika penonton perasan, saya bercakap satu demi satu dalam filem ini.
“Saya tidak boleh bercakap terlalu laju. Jika terlalu pantas, saya bimbang gigi palsu itu akan tertanggal,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis pelancaran 5 Bomoh, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai cabaran tersebut, Aaron berkata, dia perlu memberi perhatian khusus terhadap sebutan dialog kerana gigi palsu itu beberapa kali hampir terkeluar daripada kedudukan asal.
“Pernah beberapa kali saya cuba mempercepatkan dialog, tetapi gigi itu terkeluar dan suara saya menjadi kurang jelas. Jadi, saya perlu menyampaikan dialog dengan perlahan, teliti dan jelas.
“Memang ia agak mengganggu, tetapi saya anggap itulah yang memberikan kelainan serta identiti kepada watak yang saya bawakan.
“Sepanjang berada di lokasi penggambaran, saya akan memakainya hampir sepanjang masa. Hanya ketika solat atau makan sahaja saya membukanya. Selebihnya, ia sentiasa berada di dalam mulut.
“Memang ada sedikit ulcer akibat cangkuk itu. Saya teringat bagaimana Rami Malek memakai gigi palsu untuk wataknya dalam Bohemian Rhapsody. Lebih kurang begitulah rasanya,” katanya.
5 Bomoh mengisahkan Rashdan, seorang ahli perniagaan yang terlalu taksub dengan amalan tahyul warisan keluarga. Apabila berdepan konflik kerjaya dan rumah tangga, dia memilih jalan singkat dengan mendapatkan khidmat lima bomoh berbeza yang mempunyai pelbagai ragam, sekali gus mencetuskan pelbagai insiden huru-hara dan komedi.










