BAITULMUQADDIS: Pihak berkuasa Israel memutuskan untuk melaksanakan penutupan komprehensif ke atas Tebing Barat yang diduduki dan menutup pintu sempadan ke wilayah berkenaan.
Langkah penutupan itu berkuat kuasa sehingga Sabtu ini di mana pihak berkuasa Israel memberi alasan sambutan perayaan Yahudi, Sukkot atau Feast of Tabernacles sebagai punca tindakan berkenaan diambil.
Sekatan baharu itu merangkumi kawalan ketenteraan yang lebih ketat di pos kawalan dan penghalang jalan, sekali gus menyekat pergerakan dan akses rakyat Palestin ke tempat suci.
Tentera Israel memperketat sekatan di sekitar Ramallah dan Al-Bireh, menyeberangi jalan utama dan pintu masuk selain mengganggu ketenteraman penduduk Palestin di kawasan berkenaan.
Pihak berkuasa turut menutup pintu masuk ke Turmus Ayya, Aboud, Nabi Saleh, Atara dan Taybeh.
Ia turut mendirikan pos kawalan di Yabroud, Ein Sinya dan Jaba’ bagi memeriksa kenderaan dan kad pengenalan penduduk tempatan.
Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika serangan tentera dan pendatang haram Israel di Tebing Barat yang diduduki semakin meruncing sejak perang Gaza meletus pada Oktober 2023.
Sekurang-kurangnya 1,206 rakyat Palestin, termasuk 254 kanak-kanak terkorban sejak Oktober itu.
Kira-kira 13,350 lagi cedera dan lebih 24,600 individu ditahan sepanjang tempoh berkenaan mengikut data rasmi Palestin. – AGENSI











