Tun Hasmah, sosok ibu dalam kenangan Shuhaily

Tun Hasmah, sosok ibu dalam kenangan Shuhaily

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kenangan Allahyarham Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali yang sentiasa mengambil berat kebajikan anggota keselamatan kekal dalam ingatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Mohd Shuhaily berkata, setiap kali selesai tugasan mengiringi Allahyarham dan suaminya, Tun Dr. Mahathir Mohamad di luar negara, Allahyarham tidak pernah lupa bertanya mengenai keadaan anggota.

“Setiap kali habis tugasan, setiap hari beliau akan tanya kami, ‘dah makan ke belum? Cukup rehat?’

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi kami yang berada dalam pasukan keselamatan, beliau seperti seorang ibu,” katanya ketika ditemui di Pusara Negara, Presint 20, di sini hari ini.

Menurutnya, antara kenangan paling bermakna bersama Allahyarham adalah ketika beliau meraikan hari lahir bersama-sama di Baltimore, Amerika Syarikat sekitar 2012 atau 2013.

Katanya, beliau dan Allahyarham berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu 12 Julai dan Allahyarham sendiri mengingatinya ketika mengetahui beliau berada di Baltimore.

“Saya berada di Baltimore ketika hari lahir kami. Tiba-tiba Tun teringat saya berada di sana dan meminta saya masuk.

“Beliau berkata, ‘Shuhaily, your birthday sama dengan saya kan?’ Saya jawab, ‘Ya, Tun’, kemudian beliau mengajak saya meraikannya bersama,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, Allahyarham kemudian meminta Tun Dr. Mahathir duduk di sebelahnya sebelum mereka bertiga memotong kek bersama-sama.

“Kami bertiga memegang pisau dan memotong kek. Itulah kenangan yang tidak akan saya lupakan,” katanya.

Beliau berkata, Allahyarham juga masih mengenali dan mengingatinya setiap kali mereka bertemu selepas itu meskipun tidak kerap berjumpa.

Mohd Shuhaily yang pernah berkhidmat dalam Cawangan Khas berkata, beliau turut berpeluang mengetuai pasukan keselamatan ketika lawatan pertama Tun Dr. Mahathir ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas kembali menjadi Perdana Menteri pada 2018.

“Melihat Tun kembali ke pentas antarabangsa adalah satu penghormatan bagi saya.

“Tun Siti Hasmah adalah penyokong kuat beliau. Pemergiannya satu kehilangan kepada negara,” katanya.

Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.20 pagi tadi pada usia 100 tahun.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan dengan penuh Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara kira-kira pada 6.20 petang tadi dengan dihadiri Tun Dr. Mahathir, anak-anak serta ahli keluarga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×