Hyeon-gyu wira Korea Selatan tumbangkan Czech 2-1

Hyeon-gyu wira Korea Selatan tumbangkan Czech 2-1

PEMAIN Korea Selatan, Oh Hyeon-gyu meraikan jaringan kedua pada aksi pertama Kumpulan A menentang Republik Czech, sebentar tadi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUADALAJARA, Mexico: Korea Selatan memulakan kempen Piala Dunia dengan langkah kanan selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Republik Czech 2-1 dalam aksi sengit Kumpulan A di Stadium Guadalajara, sebentar tadi.

Kemenangan itu memberikan tiga mata berharga buat skuad Taegeuk Warriors dalam misi memburu tempat ke pusingan kalah mati, selain membuktikan semangat juang tinggi pasukan Asia itu selepas berdepan tentangan hebat daripada lawan mereka.

Perlawanan berlangsung seimbang pada babak pertama dengan kedua-dua pasukan saling menguji benteng pertahanan, namun gagal menemui sentuhan penyudah yang diperlukan untuk memecahkan kebuntuan.

Bersambung babak kedua, Czech akhirnya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-59 menerusi pertahanan mereka, Ladislav Krejci yang menanduk masuk bola hasil lontaran jauh ke dalam kotak penalti.

Gol tersebut sekali lagi membuktikan kekuatan tradisi pasukan Eropah itu dalam situasi bola mati, aspek yang sering menjadi senjata utama mereka dalam kejohanan besar.

Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan sembilan minit apabila Korea Selatan berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain tengah kreatif, Hwang In-beom pada minit ke-68 untuk menghidupkan semula harapan pasukannya.

Jaringan tersebut menyemarakkan keyakinan pemain Korea Selatan yang mula meningkatkan tekanan ke atas pertahanan Czech bagi mencari gol kemenangan.

Czech hampir kembali berada di depan pada minit ke-76 apabila Tomas Soucek menanduk masuk bola hasil sepakan bola mati namun kgol itu dibatalkan selepas dia berada pada kedudukan ofsaid.

Detik penting perlawanan akhirnya hadir pada minit ke-80 apabila pemain gantian, Oh Hyeon-gyu membuktikan sentuhan tajamnya sebagai ‘super-sub’.

Penyerang itu pantas menyambar hantaran lintang dari sebelah kanan sebelum melakukan tampanan mudah untuk menewaskan penjaga gol Czech, Matej Kovar dan meletakkan Korea Selatan mendahului 2-1.

Gol berkenaan mencetuskan sorakan gemuruh penyokong Korea Selatan yang membanjiri Stadium Guadalajara dan ternyata menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.

Republik Czech tidak berputus asa dan hampir meraih gol penyamaan dua minit kemudian menerusi Adam Hlozek, namun percubaan berbahayanya berjaya dinafikan penjaga gol Korea Selatan, Kim Seung-gyu yang bertindak cemerlang untuk memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi.

Aksi saling berbalas serangan antara kedua-dua pasukan terus disajikan namun tiada jaringan berjaya dihasilkan memastikan tiga mata menjadi milik Korea Selatan.

Kini, Mexico dan Korea Selatan masing-masing menghuni kedudukan satu, dua Kumpulan A selepas mencatat kemenangan ke atas lawan mereka pada aksi pertama.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN