NEW YORK: Microsoft sedang menyiasat gangguan yang memberi kesan kepada pelbagai perkhidmatan termasuk Teams dan Outlook selepas platform itu dilaporkan tidak berfungsi untuk beribu-ribu pengguna di seluruh dunia.
Dalam kemas kini terbaharu, gergasi teknologi itu berkata, pihaknya telah mengenal pasti masalah rangkaian dan sedang menyemak telemetri untuk menentukan langkah penyelesaian seterusnya”.
Microsoft tidak mendedahkan bilangan pengguna yang terjejas akibat gangguan itu, tetapi data daripada tapak web penjejakan gangguan Downdetector menunjukkan lebih daripada 3,900 insiden di India dan lebih 900 lagi di Jepun.
Laporan gangguan juga meningkat di Australia, Britain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Tapak Downdetector menjejaki gangguan dengan mengumpulkan laporan status daripada sumber termasuk ralat yang diserahkan pengguna pada platformnya.
Semasa gangguan, kebanyakan pengguna tidak dapat bertukar-tukar mesej, menyertai panggilan atau menggunakan sebarang ciri aplikasi Team.
Ramai pengguna menggunakan Twitter untuk berkongsi kemas kini tentang gangguan perkhidmatan, dengan #MicrosoftTeams menjadi sohor kini sebagai hashtag di tapak media sosial.
Microsoft Teams, yang digunakan oleh lebih 280 juta orang di seluruh dunia, membentuk bahagian penting dalam operasi harian perniagaan dan sekolah yang menggunakan perkhidmatan itu untuk membuat panggilan, menjadualkan mesyuarat dan mengatur aliran kerja mereka.
Antara perkhidmatan lain yang terjejas ialah Microsoft Exchange Online, SharePoint Online dan OneDrive for Business.-REUTERS