Kanak-kanak tiga tahun positif THC, pempengaruh direman - Utusan Malaysia

Kanak-kanak tiga tahun positif THC, pempengaruh direman

DZULKHAIRI MUKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki tempatan yang juga pempengaruh media sosial direman bagi membantu siasatan selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun didapati positif tetrahydrocannabinol (THC).

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pegawai perubatan Hospital Melaka berhubung seorang mangsa kanak-kanak yang dibawa dalam keadaan separuh sedar pada kira-kira pukul 5 petang, pada 14 April lalu.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati, mangsa positif THC iaitu sejenis bahan aktif dalam ganja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun itu telah pulih selepas menerima rawatan dan telah dibenarkan pulang ke rumah.

“Siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu diambil dari sebuah rumah pengasuh di Sungai Putat. Mangsa juga pernah menerima rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan di zon merah Hospital Melaka pada 11 April lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah Melaka telah menahan seorang lelaki Melayu berusia lingkungan 39 tahun kira-kira pukul 9.30 malam pada 15 April lalu bagi membantu siasatan.

“Suspek yang juga seorang pempengaruh media sosial tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing terhadapnya adalah negatif. Tiada sebarang barang rampasan diperoleh setakat ini,” ujarnya.

Dzulkhairi berkata, suspek telah direman selama tujuh hari bermula 16 April hingga 22 April sebelum tempoh reman disambung lima hari lagi sehingga 27 April ini.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 22 April dan kini masih menunggu arahan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana disyaki melibatkan pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada risiko bahaya.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini