KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) bagi membincangkan serta mencari penyelesaian terhadap isu-isu berbangkit, khususnya pemilikan tanah kepada peneroka.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud semasa menyampaikan penggulungan Ucapan Junjung Kasih di Atas Titah Diraja sempena Persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-15 Tahun 2026.
Menurutnya, ia adalah susulan isu dibangkitkan Wan Rohimi Wan Daud (Pas-Melor) ketika membahaskan titah ucapan diraja pada Sidang DUN Kelantan semalam, yang mendorong perdebatan hangat antara beliau dan Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN-Nenggiri) serta Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas).
“Isu-isu berkaitan Kesedar dan tanah peneroka Kesedar yang dibangkitkan oleh Melor, Nenggiri dan Galas menzahirkan ada beberapa isu berbangkit yang tertunggak dan belum selesai.
“Justeru, kerajaan negeri bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Tanah Kesedar bagi membincangkan serta mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu-isu berbangkit, khususnya berkaitan pemberi milikan tanah kepada para peneroka,” katanya semasa berucap pada Sidang DUN Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Sementara itu, Kesedar menegaskan isu pemberian hak milik tanah kepada peneroka dibawah selian agensi itu telah dimulakan sejak tahun lalu.
Pengerusinya Datuk Zawawi Othman berkata, proses tersebut melibatkan 2,280 peneroka dengan keluasan lebih 9,200 hektar termasuk kawasan kediaman.
Katanya, langkah berkenaan digerakkan sejurus beliau mengambil alih kepimpinan Kesedar atas arahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Majlis menandatangani Borang 14A bagi pindah milik tanah telah dilaksanakan seawal 2025.
“Ini bukti kita tidak hanya bercakap, tetapi melaksanakannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zawawi memberitahu, perkara tersebut memerlukan penelitian dokumentasi menyeluruh dan tidak boleh disegerakan.
Katanya, Kesedar turut merangka masa depan generasi baharu peneroka melalui pembangunan penempatan baharu dan penyusunan kehidupan golongan kurang berkemampuan.
“Sebanyak 100 lot tapak kediaman di Sungai Asap kini dalam pelaksanaan dengan kos hampir RM15 juta, manakala projek di Paloh bernilai RM10 juta sedang dalam proses tender.
“Bagi saya itu ini sengaja dipolitikkan walhal peneroka telah dimaklumkan lebih awal mengenai perkembangan tersebut,” ujarnya.-UTUSAN










