LONDON: Seorang lelaki yang membeli rumah idamannya bernilai 700,000 pound (RM3.68 juta) bertindak menyaman bekas pemiliknya setelah menemukan tanaman Japanese Knotweed tersembunyi di sebalik sebuah bangsal di halaman belakang kediaman itu.
Lapor Mirror, Jonathan Downing membeli rumah tiga bilik tidur yang terletak di Raynes Park, barat daya London daripada Jeremy Henderson pada Ogos 2018.
Downing, 30, pada mulanya merancang untuk mengubah suai rumah tersebut, selain membina sebuah bangsal baharu di halaman belakang kediaman itu.
Namun, ketika sedang membersihkan halaman belakang sejurus selepas berpindah ke rumah itu, Downing menemukan rumpun buluh Japanese Knotweed di sebalik semak yang tumbuh di sebelah bangsal tersebut.
Japanese Knotweed merupakan spesies tumbuhan invasif yang agresif dan sukar untuk dimusnahkan.
Malah, tumbuhan itu berbahaya kerana boleh merosakkan struktur dinding dan lantai bangunan.
Justeru, Downing menyaman Henderson dengan menuntut bekas pemilik rumah itu membayar ganti rugi ekoran tidak memaklumkan mengenai tanaman Japanese Knotweed yang tumbuh di hartanah tersebut ketika menjualnya.
Downing menuntut ganti rugi sebanyak 32,000 pound (RM168,645) bagi menampung kos memeriksa dan memusnahkan tanaman itu serta kejatuhan nilai hartanah dibelinya akibat `serangan Japanese Knotweed’.
Sementara itu, hakim Mahkamah Daerah London, Jan Luba KC mengarahkan Henderson membayar ganti rugi berkenaan berserta yuran guaman Downing dan kos lain yang dianggarkan mencecah hampir 100,000 pound (RM526,997).
Henderson diperintah untuk membayar ganti rugi serta kos sebanyak 65,000 (RM342,548) dalam masa 21 hari.