Polis Jerman gagalkan cubaan pelampau sayap kanan guling kerajaan - Utusan Malaysia

Polis Jerman gagalkan cubaan pelampau sayap kanan guling kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FRANKFURT: Seorang putera raja, bekas ahli Parlimen dan bekas tentera ditahan semalam dalam serbuan diketuai polis Jerman terhadap anggota ‘kumpulan pelampau’ sayap kanan yang didakwa merancang menyerang Parlimen dan menggulingkan kerajaan.

Ketua Pendakwa Raya Persekutuan, Peter Frank, berkata kumpulan itu sudah menganjurkan ‘majlis’ untuk mengambil alih kuasa selepas cubaan jenayah bagi menggulingkan kerajaan dan ‘senjata tentera yang akan membina tentera Jerman baharu’.

“Sebahagian anggota pertubuhan pengganas juga mempertimbang untuk menggunakan kekerasan bagi memasuki Bundestag (Parlimen) Jerman,” kata Frank kepada pemberita.

Beliau kemudian memberitahu stesen penyiaran ARD yang persediaan kumpulan itu sudah berada pada peringkat tinggi, walaupun tiada tarikh jelas yang ditetapkan.

“Kami pasti ia akan menjadi satu tunjuk perasaan besar-besaran,” katanya.

Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier, memberitahu, beliau amat bimbang dengan dakwaan plot itu dan menyifatkannya sebagai ancaman ‘tahap baharu’.

Kira-kira 3,000 pegawai termasuk unit anti keganasan elit terbabit dalam serbuan awal pagi itu, yang menggeledah lebih 130 hartanah.

Pendakwa raya persekutuan, dalam satu kenyataan, berkata serbuan itu menyasarkan mereka yang didakwa anggota pergerakan ‘Rakyat Reich’ atau Reichsbuerger.

Pendakwa raya di Karlsruhe, selatan Jerman, berkata mereka menahan 25 orang, termasuk seorang di Austria dan seorang lagi di Itali serta mengenal pasti 27 orang lagi yang disyaki anggota atau penyokong rangkaian itu.

Katanya, mereka yang ditangkap dituduh menubuhkan kumpulan yang ‘menetapkan matlamat untuk melangkaui perintah negara sedia ada di Jerman dan menggantikannya dengan negara mereka sendiri’.

Mereka didakwa merancang untuk melantik seorang daripada suspek yang ditahan, dikenal pasti media tempatan sebagai seorang bangsawan dan ahli perniagaan, Putera Heinrich XIII Reuss, sebagai pemimpin baharu Jerman selepas rampasan kuasa.

Pendakwa berkata, Heinrich XIII sudah pun berusaha menghubungi pegawai Russia bagi membincangkan ‘perintah negara baharu’ Jerman selepas rampasan kuasa. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.