fbpx

Tiga angkasawan China berlepas ke stesen angkasa Tiangong

ANGKASAWAN China (dari kiri) Zhang Lu, Deng Qingming dan Fei Junlong melambai semasa majlis sebelum pelancaran misi Shenzhou-15 di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di Wilayah Gansu Barat Laut China.-AFP

BEIJING: Tiga angkasawan China berlepas ke stesen angkasa Tiangong melalui pelancaran kapal angkasa Shenzhou-15 semalam yang merupakan penghantaran pertama kru China ke orbit.

Agensi berita Xinhua yang memetik Pentadbiran Angkasa Bermanusia China (CMSA) melaporkan, ketiga-tiga angkasawan berlepas menggunakan roket Long March-2F dari pusat pelancaran Jiuquan di barat laut gurun Gobi pada jam 11.08 malam (waktu tempatan).

Kapal angkasa yang membawa angkasawan veteran, Fei Junlong dan dua angkasawan baharu, Deng Qingming dan Zhang Lu, berjaya berlabuh di stesen angkasa China awal pagi ini.

Junlong, 57, kembali ke angkasa lepas selepas 17 tahun, dan pernah mengendalikan misi Shenzhou-6 pada 2005.

Lapor BBC, misi itu akan menjadi pos luar angkasa kedua yang didiami secara kekal, selepas Stesen Angkasa Antarabangsa yang diketuai Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) di mana China dikecualikan pada 2011.

Krew baru akan tinggal di stesen selama enam bulan, mengambil alih daripada tiga rakan sekerja yang tiba pada bulan Jun lalu.

Tempoh penyerahan akan berlangsung selama seminggu untuk menguji keupayaan stesen itu menempatkan enam angkasawan.

Misi berkenaan adalah yang terakhir daripada 11 misi yang diperlukan untuk memasang stesen yang dijangka beroperasi selama sekitar satu dekad dan menjalankan eksperimen dalam graviti hampir sifar.

Krew yang akan pulang dijangka kembali ke Bumi awal bulan depan.

Jurucakap Pentadbiran Angkasa Lepas China berkata, kru baharu akan menumpukan pada pemasangan peralatan serta kemudahan di sekitar stesen angkasa dan pembinaan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

Program angkasa lepas China sebelum ini telah mendaratkan rover robotik di Marikh dan Bulan, yang merupakan negara ketiga yang meletakkan manusia di orbit.

China telah membuka proses pemilihan angkasawan untuk misi masa depan kepada pemohon dari kawasan pentadbiran khas Macau dan Hong Kong, yang sebelum ini telah dikecualikan.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN