Chong Wei sumber inspirasi Tang Jie-Ee Wei

Chong Wei sumber inspirasi Tang Jie-Ee Wei

Chen Tang Jie (kiri) dan Toh Ee Wei pada sidang media selepas Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie mengakui kejayaan menerima pengiktirafan sebagai Olahragawan Kebangsaan dalam Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 merupakan satu pencapaian yang amat bermakna dalam kariernya.

Menurut Tang Jie, anugerah tersebut hadir sebagai satu kejutan besar buat dirinya memandangkan sejak kecil dia membesar dengan menjadikan legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei sebagai sumber inspirasi utama.

“Sejak dari kecil, yang paling popular adalah Datuk Seri Lee Chong Wei. Banyak pencapaian yang dilakukannya dan kita boleh menyaksikannya di televisyen.

“Apabila dapat anugerah ini, saya rasa terkejut sebab selalu menonton Datuk Seri Lee Chong Wei di televisyen. Beliau hero Malaysia malah merupakan salah satu ikon rakyat Malaysia termasuk saya dan (Toh) Ee Wei,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ASN 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

Tang Jie menewaskan atlet wushu negara, Si Shin Peng, Muhammad Khairi Abib Azhar (pencak silat), Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling) dan Abdul Aziz Ahmad (bina badan).

Pasangannya pula, Ee Wei dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan mengetepikan cabaran daripada dua atlet wushu negara, Tan Cheong Min dan Pang Pui Yee, Emma Firyana Saroji (boling padang) dan Natasha Mohamed Roslan (tenpin boling).

Pengiktirafan tersebut diberikan kepada pasangan beregu campuran utama negara itu susulan kejayaan mereka muncul juara dunia pada tahun lalu.

Sementara itu, Ee Wei berkata, dia tidak mahu cepat berpuas hati dengan kejayaan diraih sebaliknya tekad meneruskan usaha memburu lebih banyak gelaran pada masa hadapan.

“Ya, sudah pasti selepas menjadi juara dunia, mesti lebih banyak sasaran yang perlu dicapai dan sudah tentu orang ramai mahu kami mendapat lebih banyak keputusan yang memberangsangkan.

“Tetapi saya rasa ini satu perjalanan yang penting bagi saya dan Tang Jie sebab dalam sukan mesti ada menang kalah. Sewaktu kita menang kita meraikannya dan semasa kita kalah kita fikir bagaimana untuk mengatasinya dan bangkit semula.

“Saya rasa kalau kita selalu bekerja keras, rajin dan berdisiplin, percayalah kepada Tuhan, kita pasti boleh dapat sesuatu yang bagus,” katanya.

Pemenang bagi anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan masing-masing menerima sebuah piala, piala iringan, sijil penghargaan serta hadiah wang tunai berjumlah RM20,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN