Kerja keras 10 tahun berbaloi

Kerja keras 10 tahun berbaloi

Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin terpilih sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2025, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Atlet para berbasikal negara, Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin mengakui segala usaha dan kerja kerasnya sepanjang bergelar atlet berbaloi apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan 2025.

Kejayaan Yusof meraih gelaran juara dunia menerusi pingat emas acara pecut (kategori MC1) di Brazil tahun lalu mengenepikan pemenang tiga kali Bonnie Bunyau Gustin dari powerlifting dan jaguh lompat jauh Datuk Abdul Latif Romly.

“Memang saya terkejut dan tidak percaya sebab pesaing saya semuanya hebat, Bonnie dan Datuk Latif. Jadi, saya datang ke sini sebagai calon pun dah bersyukur.

“Selepas itu, nama saya dipanggil untuk menerima anugerah ini dan saya memang berasa terkejut sampai susah untuk mempercayainya.

“Anugerah ini tanda kerja keras saya selama 10 tahun dan saya memang amat mengidamkannya sebab boleh hadiahkan kepada ibu bapa saya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 di Majlis Sukan Negara, semalam.

Bagi Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pula menjadi milik Lim Carmen susulan kejayaannya memenangi dua emas serta mencipta satu rekod temasya di Sukan Para ASEAN di Thailand, tahun lalu sekali gus menewaskan Jariah Zakaria (para boling padang) dan Parameswary Kashinathan (para menembak).

Yusof turut berkata, dia kini sedang melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Sukan Komanwel yang bakal diadakan di Glasgow dari 23 Julai hingga 2 Ogos.

Pemenang bagi Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan masing-masing bakal menerima sebuah piala, piala iringan, sijil penghargaan serta hadiah wang tunai berjumlah RM20,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN