10 atlet rebut gelaran Olahragawan, Olahragawati ASN 2025

10 atlet rebut gelaran Olahragawan, Olahragawati ASN 2025

TAN Cheong Min antara 10 atlet yang tercalon dalam Anugerah Sukan Negara
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Debaran kian terasa apabila persaingan merebut gelaran berprestij Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan bagi Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 semakin sengit, dengan lima atlet lelaki dan lima atlet wanita telah disenarai pendek.

Jawatankuasa Pemilihan ASN 2025 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Rahimi Ismail, menerima sebanyak 74 pencalonan merangkumi 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Bagi Anugerah Olahragawan Kebangsaan, atlet wushu negara, Si Shin Peng mengetuai senarai pencalonan bersama empat lagi atlet iaitu Chen Tang Jie (badminton), Muhammad Khairi Abib Azhar (pencak silat), Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling) dan Abdul Aziz Ahmad (bina badan).

Sementara itu, Anugerah Olahragawati Kebangsaan pula menyaksikan persaingan melibatkan atlet wushu, Tan Cheong Min dan Pang Pui Yee, Emma Firyana Saroji (boling padang), Natasha Mohamed Roslan (tenpin boling) serta Toh Ee Wei (badminton).

Bagi Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, jaguh para powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin mendahului senarai pencalonan bersama atlet para berbasikal, Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin dan ikon para olahraga negara, Datuk Abdul Latif Romly.

Anugerah Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pula menampilkan Jariah Zakaria (para boling padang), Lim Carmen (para renang) dan Parameswary Kashinathan (para menembak).

Pemenang bagi Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan masing-masing bakal menerima sebuah piala, piala iringan, sijil penghargaan serta hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.

Selain kategori utama, ASN 2025 turut mempertandingkan tujuh lagi kategori iaitu Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan serta Anugerah Khas.

Majlis tersebut akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

ASN mula diperkenalkan pada 1966 merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan dalam menghargai kecemerlangan atlet, jurulatih, pegawai serta persatuan sukan kebangsaan yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa sepanjang tahun.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN